Malaysiakini
BERITA

MPS sita pejabat Azmin dan Hilman

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Sep 2020, 9:03 pagi

Dua pejabat bekas wakil rakyat PKR di Selayang, Selangor, disita pihak berkuasa tempatan hari ini.

Pejabat terbabit sebelum ini menjadi pusat khidmat Azmin Ali dan Hilman Idham. Untuk rekod Azmin merupakan anggota parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa, manakala Hilman - yang juga setiausaha politik Azmin - Adun Gombak Setia.

Penyitaan di Taman Berjaya itu lapor Sinar Online dilakukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Langkah itu dipercayai ada kaitan dengan status kedua-dua wakil rakyat itu yang berpaling tadah daripada PKR dan kini menyertai Perikatan Nasional.

Azmin merupakan salah seorang watak utama menggerakkan Langkah Sheraton yang kemudian menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh pada akhir Feb lalu.

Hilman mendakwa langkah MPS itu merupakan tindak balas kerajaan negeri kerana mereka tidak lagi bersama PH.

Hilman Idham

"Tindakan Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) dan kerajaan negeri menyita pusat khidmat dan menghalau saya keluar hanya akan merugikan rakyat DUN Gombak Setia.

"Pusat Khidmat tersebut adalah pejabat untuk saya bertemu dengan rakyat, pimpinan tempatan dan warga yang memerlukan," katanya dipetik portal tersebut.

Bagaimanapun, Hilman berkata dia tiada di premis terbabit ketika penyitaan dibuat. Katanya dia kini berada di Sabah.

"Walaupun saya bukan lagi Adun PH, namun saya dan Azmin masih melaksanakan khidmat dan menyalurkan bantuan kepada warga Gombak.

"Jika menteri besar dan kerajaan negeri mahu menghukum saya kerana tidak lagi menyokong PH, mereka sepatutnya berdepan dengan saya dan bukan menghukum rakyat dan para pengundi Gombak Setia," katanya.

Sementara itu Hilman menjelaskan dia meminta penjawat awam di Selangor terus "mempertahankan piagam perkhidmatan" serta tidak tunduk kepada tekanan politik kerajaan negeri.

"Insya-Allah, sampai masanya kita akan kembali bersama untuk melakar kejayaan di Selangor," katanya di media sosial.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan kenyataan daripada MPS mengenai tindakan tersebut.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.