Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBS kini 'rakan kongsi' PN, seperti GPS di S'wak
Diterbitkan:  Sep 18, 2020 5:29 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Perikatan Nasional, tetapi tidak akan menjadi anggota gabungan baru itu.

"(Ini) sama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. Mereka adalah rakan kongsi PN," kata Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim dalam satu kenyataan.

Perjanjian bersama itu ditandatangani oleh Jahid dan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin di Tamparuli, Sabah semalam.

Jahid mengatakan bahawa sekiranya PBS dan PN menang cukup banyak kerusi, mereka akan membentuk kerajaan negeri Sabah yang seterusnya.

"Walaupun kami mempunyai manifesto kami sendiri, PBS akan berkongsi manifesto PN semasa kempen," katanya.

PBS juga akan menggunakan gambar dan mesej Perdana Menteri dan Presiden PN Muhyiddin Yassin sebagai sebahagian daripada kempen mereka.

Perjanjian itu akan membolehkan PBS menggunakan logo dan bendera sendiri semasa kempen pilihan raya.

"Ini adalah istimewanya mengenai kedudukan PBS. Kami berdiri sendiri. Sepenuhnya autonomi dan tidak ditentukan oleh mana-mana pihak, namun merupakan sebahagian daripada keluarga PN yang lebih besar, untuk bersama-sama membangun dan menjadikan Malaysia lebih besar," katanya.

Jahid bagaimanapun tidak menanggapi kenyataan bahawa PBS akan berdepan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) - parti komponen PN - dalam saingan di enam kerusi.

PBS juga berdepan parti komponen BN dalam saingan untuk 10 kerusi lain.

Lihat Komen
ADS