Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Di kawasan KDM, momokan Warisan mesra pendatang hantui Upko

PRN SABAH | Warisan sejak penubuhannya pada tahun 2016 telah mulai bertapak di Sabah, terutama di kawasan bumiputera Muslim.

Pada pilihan raya Sabah kali ini, parti itu berusaha menembusi kawasan bumiputera bukan Islam, namun menghadapi masalah "momokan" yang serupa dengan yang dihadapi DAP di semenanjung Malaysia.

Warisan, yang dilabel seterunya sebagai parti "pendatang tanpa dokumen" dalam masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM), kini bergantung kepada sekutu barunya Upko untuk mendapatkan sokongan daripada komuniti bumiputera bukan Islam.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap Warisan akibat momokan "pendatang tanpa dokumen" turut memberi kesan terhadap Upko, yang bergelut dengan label seumpama itu di kawasan KDM.

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin juga memainkan isu berkenaan apabila menyamakan slogan Warisan "In God We Trust, Unite We Must" dengan slogan dari Filipina, meskipun ungkapan "In God We Trust", atau "Kepercayaan Kepada Tuhan" dalam bahasa Melayu, terdapat dalam Rukun Negara.

Keadaannya tidak jauh berbeza dengan DAP yang digambarkan sebagai parti "anti-Melayu dan anti-Islam" di semenanjung Malaysia, sehinggakan sekutunya juga digambarkan menyokong agenda DAP.

Kebangkitan Warisan pada pilihan raya umum 2018 tidak diterjemahkan di kawasan KDM apabila hanya memperoleh empat daripada 10 kerusi di kawasan majoriti KDM yang ditandingi ketika itu.

Kini tugas ini diserahkan kepada Upko dengan harapan dapat memberikan keputusan yang lebih baik untuk pakatan Warisan Plus, yang juga termasuk Pakatan Harapan (PH).

Menyedari cabaran tersebut, Upko bertanding dengan logo sendiri dan tidak menggunakan logo Warisan, seperti yang dilakukan DAP dan Amanah.

Upko, yang dahulunya dikenali sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu, sememangnya popular dalam komuniti KDM.

Tahun lalu, Upko menjenamakan parti itu sebagai Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu, sesuai dengan matlamat parti itu untuk menjadi lebih inklusif dan bukannya eksklusif terhadap kawasan KDM semata-mata.

Perebutan PBS dan Upko di kawasan KDM

Upko berpisah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1994, ketika penghujung penguasaan PBS dalam kerajaan Sabah.

Kepimpinan PBS pada 1980-an dan awal 1990-an dianggap sebagai zaman kegemilangan bagi kepimpinan KDM di negeri ini.

Walaupun berlaku perpecahan, Upko dan PBS tetap menjadi sebahagian daripada BN dan berjaya mengekalkan kerusi KDM di antara mereka.

Kedua-dua parti itu keluar daripada BN pada 2018.

Upko kini bersama Warisan, manakala PBS bergerak sendirian tetapi bekerjasama rapat dengan Perikatan Nasional dan BN, di mana kedua-dua parti tersebut akan merebut kerusi di kawasan KDM.

Upko bertanding 12 kerusi dalam pilihan raya ini, yang kesemuanya merupakan kerusi majoriti KDM. Manakala PBS pula bertanding tujuh kerusi daripada jumlah itu.

Presiden Upko, Madius Tangau mengakui partinya dijangka akan dapat memberikan undi daripada komuniti KDM untuk Warisan Plus.

Meskipun demikian di kerusi Kiulu yang ditandinginya sendiri terdapat cakap-cakap di kalangan pengundi mengenai momokan "pendatang tanpa dokumen".

Dalam perbualan dengan Malaysiakini, ada yang membangkitkan perkara itu tanpa perlu ditanya.

Yawas Tagih (gambar atas), seorang penoreh getah berusia 48 tahun dari Kampung Raganan di Kiulu, berkata dia ada terbaca mengenai kaitan Warisan dengan peningkatan jumlah pendatang tanpa izin di Sabah, yang menyebabkan dia menjauhi Upko.

"Bagi saya, situasi Upko tidak sebaik sebelum ini, kerana saya tidak suka sekarang mereka berada dalam pakatan dengan Warisan.

"Saya tidak berminat (dengan Upko) kerana mereka bergabung dengan Warisan dan ada banyak PTI yang terkait dengan Warisan," katanya ketika ditemui di Pekan Kiulu, sebuah perkampungan kecil yang terletak di tengah-tengah pergunungan sekitar 40-km dari bandar Tuaran.

Dia mengakui kerajaan Warisan telah banyak membantu penduduk di kampungnya seperti menyediakan kemudahan paip air baru, tetapi menurutnya, masalah pendatang tanpa dokumen jauh lebih mendesak.

Kebimbangan terhadap pendatang

Begitu juga, Christiny Yangat yang berusia 48 tahun (gambar bawah) mengatakan sokongannya diberikan kepada PBS dalam pilihan raya ini walaupun dia menyukai Madius sebagai calon.

"Madius juga sangat popular dan (kerajaan Warisan) telah memberikan sumbangan di sini, tetapi apa yang saya tidak suka adalah masalah pendatang tanpa izin dengan Warisan," katanya.

Madius mengambil risiko besar bertanding di Kiulu, kubu kuat PBS yang dipegang oleh penyandangnya Joniston Lumai @ Bangkuai.

Awal hari ini, Presiden Warisan Shafie Apdal dan Madius mengunjungi Kampung Pukak di Kiulu di mana mereka bercakap dengan orang ramai sekitar 200 orang, yang kebanyakannya memakai baju Upko, di sebuah dewan terbuka.

Kampung Pukak terletak kurang 4km dari tempat Madius dilahirkan dan dibesarkan. Kawasan sekitarnya boleh dilihat diliputi bendera Upko dan poster Madius (gambar bawah).

Tidak lama selepas acara itu berakhir, seorang lelaki yang enggan dikenali mendekati pemberita di luar dewan dan secara sorok-sorok mengeluarkan lencana PBS dari dalam begnya.

"Saya di sini untuk lihat apa yang mereka kata. Saya dulu penyokong kuat Upko tapi sekarang saya sokong PBS.

"Saya tidak suka Warisan kerana pendatang tanpa dokumen," katanya.

Kebimbangan tersebut sebahagiannya disebabkan sejarah Sabah yang menyaksikan kemasukan pelarian Filipina ke negeri ini semasa konflik Moro di Filipina Selatan yang bermula pada tahun 1969.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS