Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada awal pagi hari Ahad, terdapat banyak aktiviti kawasan terbuka yang dibahagi oleh beberapa jalan di tengah-tengah bandar Tandek di Kota Marudu, dengan taburan payung besar dan khemah biru dan putih yang didirikan di kawasan itu.

Orang ramai dapat dilihat menjaja hasil dan barang mereka di kawasan itu. Ada juga yang memasang tikar di kaki lima, di mana mereka dapat berlindung dari sinar matahari di bawah redup pohon, sambil mempmerkan barang-barang mereka untuk dijual.

Sementara yang lain berjalan di sekitar kawasan ini, meneliti gerai-gerai yang ada. Semua jenis barang boleh didapati, dari buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman, haiwan ternakan hidup hinggalah makanan harian.

Bau makanan yang baru dimasak dan suara riuh orang berbual tidak henti-henti menghuni suasana pagi. Ini adalah ‘tamu’ mingguan di Tandek, yang pada dasarnya seperti pasar terbuka yang luas di mana petani dan penduduk berkumpul untuk menjual barang mereka.

Tamu mingguan serupa boleh didapati di pelbagai daerah di Sabah.

Tamu adalah pasar tradisi lama sejak zaman penjajahan, di mana penduduk tempatan sering bertukar barang. Sebilangan tamu masih mengamalkan sistem itu hingga hari ini.

Dengan kerumunan orang ramai setiap hujung minggu di Tandek, tidak hairanlah apabila tamu hari ini menyaksikan banyak calon datang berkempen.

Semasa lawatan Malaysiakini, sekurang-kurangnya lima calon atau jentera parti mereka dilihat berkempen di kalangan penduduk tempatan yang berkumpul di sana dan juga kawasan kedai berhampiran.

Antara yang dapat dilihat termasuk calon Upko Padis Majingkin, calon PN Bandau Wetrom Bahanda dan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Bandau Yangi Webley Disim.

Jentera untuk calon Usno Bandau Azahari Amit dan calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Tandek Hendrus Anding juga dilihat berkempen di tamu itu.

Di Sabah, di mana hubungan di antara penduduk kampung tetap kuat, sudah menjadi lumrah untuk melihat calon-calon memberi salam kepada penduduk tempatan seolah-olah mereka adalah kawan lama.

Calon dan jentera kempen akan singgah dan berbual pendek dengan penduduk tempatan.

Mereka juga mengedarkan risalah yang mengajak pengundi memilih calon mereka. Sebahagian risalah juga turut mengandungi manifesto calon.

Penduduk tempatan nampaknya menyambut semua calon dan jentera mereka dengan budi bahasa yang sama.

Dari perbualan Malaysiakini dengan sebilangan penduduk tempatan di tamu itu, nampaknya mereka datang dari sekitar Kota Marudu.

Walaupun tamu diadakan di Tandek, beberapa di antaranya adalah pengundi di Matunggong, yang berjarak kira-kira satu jam perjalanan sementara ramai lagi dari Bandau, sebuah kerusi DUN yang baru, berdekatan Tandek.

Tandek dan Bandau akan menyaksikan saingan bertanding enam penjuru sementara Matunggong mempunyai lapan calon yang akan merebut kerusi tersebut.

Ketika calon dan jentera parti mereka berkeliaran di tamu dan kawasan sekitarnya, penduduk tempatan lebih berminat dengan tujuan utama mereka hari ini: menjaja barang-barang mereka di pasar tradisional Sabah yang sudah lama wujud ini.

Lihat Komen
ADS