Tidak ada tanda-tanda krisis antara Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan reda, malah pusingan kedua 'pertarungan' mereka dijangka lebih hebat dan kritikal.

Menurut Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, pusingan kedua ini akan menentukan samaada Abdullah akan kekal sebagai Perdana Menteri atau tidak.

" Ini kerana pertarungan kali ini akan mempengaruhi fikiran, hati dan tindakan ahli-ahli dalam menentukan usia kepimpinan Abdullah."

"Saya difahamkan beberapa bahagian Umno telah menjemput Dr. Mahathir untuk merasmikan mesyuarat masing-masing pada bulan depan," katanya dalam satu kenyataan.

Lim memberi amaran, pengaruh Abdullah yang tidak kukuh di dalam Umno akan bertambah lemah jika beliau gagal memberikan reaksi dsn jawapan yang memuaskan terhadap semua persoalan yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir.

Menurut ahli Parlimen Ipoh Timur itu, semua pihak maklum bahawa pemimpin-pemimpin Umno tidak akan menyokong pemimpin yang lemah jika pertarungan sebenar benar-benar berlaku nanti.

" Cara paling baik untuk Abdullah menangkis segala cabaran Dr. Mahathir itu ialah dengan menunaikan segala janji-janji pilihanrayanya untuk melakukan reformasi dalam kerajaan dan memerangi korupsi."

"Masa untuk Abdullah memenuhi janji-janji pilihanrayanya semakin suntuk, jika beliau tidak menggunakan sisa-sisa masa yang ada, dari segi jangka panjang ia akan menjejaskan peluangnya mempertahankan jawatannya dalam parti dan kerajaan," tambah Lim.

Ketua Pembangkang itu juga mengulas kenyataan Dr. Mahathir pada Sabtu lalu, sekembalinya beliau dari bercuti di luar negara.

Dr. Mahathir telah mengkritik kerajaan dengan menyifatkannya sebagai tidak memberi ruang kepada kritikan.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, semasa beliau memerintah negara ini, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tidak dihalang daripada menulis pelabagi kritikan terhadap kerajaan ketika itu.

Bagaimanapun Lim menuduh Dr. Mahathir mempunyai 'ingatan terhadap perkara-perkara tertentu sahaja.'

"Beliau tidak menyebut tentang zaman penindasannya terutamanya Operasi Lalang pada tahun 1987 di mana pemimpin pembangkang, aktivis sosial dan pertubuhan bukan kerajaan serta akhbar-akhbar ditutup hingga menyebabkan suara dan tulisan Tunku Abdul Rahman hilang dari media arus perdana," kata Lim yang merupakan antara mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam operasi berkenaan.

Tegas beliau, tidak salah bagi Dr. Mahathir mengkritik dan menuntut jawapan memuaskan dari pentadbiran Abdullah tetapi pada mnasa yang sama beliau mesti bertanggungjawab terhadap segala penyelewengan dan salahlaku yang berlaku sepanjang 22 beliau berkuasa.

Kata Lim, terdapat senarai panjang soalan berhubung tindakannya 'merosakkan' beberapa institusi nasional negara ini yang perlu dijawab oleh bekas Perdana Menteri itu. Berita asal