Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ini penghinaan yang sangat besar, kata Najib
Diterbitkan:  Sep 21, 2020 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak melahirkan rasa sedih terhadap "penghinaan" yang dilemparkan bekas menteri pelancongan seni dan budaya Mohammadin Ketapi yang menyifatkan insiden pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 sebagai satu 'sandiwara'.

Ketika insiden berkenaan, Najib yang adalah perdana menteri mengarahkan pasukan keselamatan bertindak terhadap pencerobohan kumpulan pengganas Sulu itu.

"Amat sedih selepas menonton klip video calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, (calon) Warisan merangkap bekas menteri Pakatan Harapan (PH) kata pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara.

"Dia sindir pasukan keselamatan kita cuma berperang dengan ayam dan anjing masa itu.

"Ini ialah penghinaan sangat besar pada pasukan keselamatan kita yang bertarung nyawa untuk mempertahankan kedaulatan kita, terutama kepada keluarga 10 wira dan 6 warga Sabah yang terkorban," tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Mohamaddin yang juga calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama dilaporkan mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 itu hanyalah peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, Mohamaddin berkata pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan sedangkan perperangan tidak berlaku.

“Jadi ada peperangan konon di Tanduo. Datanglah jet di Tanduo, dibomnya kelapa sawit orang. Habis hangus kelapa sawit orang, habis hangus rumah orang. Koyak rumah orang ditembak. Ini kenyataan.

“Habis itu, disuruh kereta kebal masuk di kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tiada. Ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya dalam video berkenaan.

Selepas menerima kecaman Mohammadin kemudian tampil memohon maaf. Dia mendakwa video yang disebarkan itu tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya, dan adalah permainan kotor untuk memburukkan partinya Warisan serta telah diputar belit.

Dalam serangan itu, seramai 10 wira negara terkorban dalam Op Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.

Tragedi itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu ditembak mati.

Dalam pada itu Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan mendesak Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal membidas dan menuntut Mohamaddin memohon maaf berhuhung kenyataannya itu.

Abdul Rahman berkata, Mohd Shafie yang juga bekas bekas timbalan menteri pertahanan perlu mengeluarkan kenyataan segera dalam hal ini.

"Ketua menteri yang juga bekas timbalan menteri pertahanan dan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah perlu membidas ucapan calon Warisan Mohamaddin yang memperlekeh pengorbanan pihak tentera dan polis dalam insiden Tanduo, Lahad Datu.

"Sebagai ketua menteri, beliau mesti membuat kenyataan segera dan tegas menuntut Mohamaddin memohon maaf kepada semua keluarga anggota tentera dan polis yang menyabung nyawa dan yang terkorban di Tanduo," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Zahid Zarik Khan menyifatkan kenyataan Mohammadin sangat biadab dan tidak boleh diterima.

"Kenyataan pemimpin Warisan ini sangat biadap dan lansung tidak boleh diterima sama sekali.

"Kita tanya pada Warisan, adakah 235 orang warga Filipina yang bersenjata mendarat di Kampung Tanduo pada 11 Februari 2013 adalah anjing dan ayam?

"...Dan yang paling penting adakah seramai 10 anggota polis dan dua anggota tentera yang terkorban akibat dibunuh oleh anjing dan ayam?," soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lihat Komen
ADS