Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie akan minta penjelasan Mohamaddin
Diterbitkan:  Sep 21, 2020 9:58 PM
Dikemaskini: Sep 22, 2020 1:03 AM

PRN SABAH | Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal akan memanggil anggota parlimen parti itu, Mohamaddin Ketapi bagi meminta penjelasan berkenaan kenyataannya yang didakwa menghina pengorbanan anggota tentera dan polis dalam insiden pencerobohan di Tandou, Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Shafie berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program kempen calon Warisan Plus di Sandakan, malam ini.

Dia mengambil maklum bahawa Mohamaddin, yang juga bekas menteri kebudayaan dan pelancongan, telah meminta maaf atas kenyataan itu.

"Dia sudah minta maaf. Saya akan panggil dia (untuk tanya) apa sebabnya," kata Shafie ketika ditanya jika tindakan akan diambil terhadap Mohamaddin.

"Kita akan teruskan perjuangan kita. Dia pun sudah mohon maaf," katanya lagi sebelum meninggalkan tempat program di N56 Tanjong Papat.

Ketua menteri sementara Sabah itu berkempen untuk calon DAP di situ, Frankie Poon dan juga calon untuk N55 Elopura, Clavin Chong. Turut bersama ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Terdahulu hari ini, Mohamaddin dalam kenyataan menafikan dia membuat penghinaan itu dalam ucapannya yang dirakam video yang tular hari ini.

Dia juga mendakwa video yang disebarkan itu tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya, permainan kotor untuk memburukkan partinya Warisan dan telah diputar belit.

"Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya," katanya.

Terdahulu media melaporkan Mohamaddin mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu “sandiwara”.

Berdasarkan video yang tular itu, dia berucap semasa kempen baru-baru ini dengan berkata, situasi itu dikatakan berlaku apabila kononnya Umno akan kalah kepada PKR.

Menurutnya, ketika itu ketegangan telah mencetuskan “perang” dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.

Susulan itu, dia dihujani kecaman kerana disifatkan menghina anggota keselamatan yang terkorban dalam operasi itu.

Untuk rekod, Operasi Daulat dilancarkan pada Mac 2013 membabitkan polis dan tentera susulan pencerobohan kumpulan yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Sulu. Kumpulan itu menuntut Sabah sebagai wilayah mereka.

Ia berterusan selama kira-kira sebulan. Sejumlah 10 anggota keselamatan terkorban manakala sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu ditembak mati.

Lihat Komen
ADS