Malaysiakini
BERITA

NGO gesa majikan Adelina didakwa dengan pertuduhan baru

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Sep 2020, 4:23 petang

NGO Tenaganita menggesa Jabatan Peguam Negara memfailkan pertuduhan baru terhadap Ambika MA Shan berhubung kematian pembantu rumahnya, Adelina Lisao akibat didera dua tahun lalu.

Ini selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh Adelina.

Menurut Tenaganita, NGO itu dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan memiliki tempoh 10 hari untuk mendakwa Ambika dengan tuduhan lain di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Mengikut Seksyen 304A, individu yang menyebabkan kematian boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

“Adelina dianiaya dengan kejam dan parah sehingga mati. Dia ditemui dengan kecederaan parah di kepala dan muka, dan luka pada tangan dan kakinya.

“Tenaganita percaya satu-satunya cara yang berkesan untuk menghapuskan penderaan dan eksploitasi serius terhadap mana-mana individu adalah pelaku didakwa dan dipenjara untuk jangka masa panjang," kata pengarah eksekutif Tenaganita, Glorene A Das dalam satu kenyataan hari ini.

Adelina mengalami kecederaan akibat didera secara fizikal dan dibiarkan tidur di tempat letak kereta di rumah majikannya sebelum mangsa diselamatkan dengan campur tangan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pada 10 Feb 2018.

Bagaimanapun wanita berusia 26 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan organ pada hari berikutnya selepas dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam.

Ambika dan anak perempuannya kemudian didakwa di mahkamah, tetapi pihak pendakwaan menggugurkan tuduhan tersebut pada April tahun lalu.

Pihak pendakwaan dilaporkan memohon Ambika dilepaskan tanpa dibebaskan , tetapi mahkamah sebaliknya memberikan pembebasan penuh terhadap tertuduh.

Pejabat Peguam negara kemudian merayu keputusan tersebut, manakala sumber yang rapat dengan peguam negara ketika itu, Tommy Thomas mendakwa keputusan untuk menggugurkan kes itu dibuat tanpa berunding dengan Thomas.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membebaskan Ambika, selepas barisan tiga hakim dipengerusikan Yaacob Md Sam berkata tiada kesilapan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir membebaskan wanita itu mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.