Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar umum majoriti kukuh, 'kerajaan Muhyiddin jatuh'
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 12:12 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membuat pengumuman itu di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.

Menjawab soalan wartawan, beliau berkata majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

"Jumlahnya (sokongan) kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil.

"Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya sambil menambah ahli parlimen yang menyokongnya terdiri daripada pelbagai parti.

Ditanya lagi jika majoriti yang diperolehinya itu mencakupi dua pertiga, Anwar berkata “hampir”.

Anwar juga memberi jaminan bahawa dia ada "dokumen tetap yang tidak boleh diragui" bagi membuktikan bahawa dia kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Diasak wartawan untuk maklumat lanjut, Anwar berkata, butiran akan hanya diberikan selepas dia mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sekarang berada di Institut Jantung Negara.

Katanya, dia sebenarnya telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka pada Selasa lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan.

Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke Wad Diraja IJN pada Isnin lalu selepas Seri Paduka mengadu kurang selesa dengan kesihatan. Namun menurut Istana Negara, baginda tidak dalam keadaan yang membimbangkan.

"Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat, insya-Allah," katanya.

Mengenai latar belakang ahli parlimen yang menyokongnya, Anwar sekadar mengulangi bahawa mereka terdiri daripada wakil rakyat pelbagai parti.

Ketua pembangkang itu juga mengakui terdapat pembabitan daripada wakil rakyat Umno dan PAS dalam kerajaan barunya itu.

"Daripada senarai, ada ahli-ahli ari pelbagai parti. Saya fikir, biasa saya umumkan yang ini dan biar mereka menyusul dengan pandangan mereka.

"Setakat ni saya ada dokumen tetap, tidak harus diragui. Kalau tak saya tak lakukan sidang akhbar (hari ini)," katanya.

Anwar juga meminta seluruh rakyat supaya bersabar dan mendoakan kesembuhan segera Yang di-Pertuan Agong.

“Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara; menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.

“Insya-Allah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya,” katanya.

Lihat Komen
ADS