Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asyraf: Pengumuman Anwar 'gimik' raih sokongan PRN Sabah

Pemimpin Umno menyifatkan pengumuman Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baru sebagai gimik untuk menarik sokongan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau yakin tiada mana-mana Ahli Parlimen Umno terbabit dengan 'gimik' Anwar itu.

"Saya tidak yakin ada mana-mana ahli parlimen Umno terlibat. Ini hanya gimik Anwar yang pernah buat gimik yang sama satu ketika dahulu 16 September 2008 waktu BN memerintah.

"Persoalannya, pertama kenapa diumumkan ketika Tuanku Agong sedang kegeringan di Institut Jantung Negara (IJN)?

"Kedua, kenapa perlu umumkan dikala PRN Sabah sedang berlangsung dan hanya tinggal dua hari berbaki sebelum hari pengundian?" katanya kepada Malaysiakini.

Kata Asyraf, Anwar bagaikan terdesak setelah sekutunya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan sokongan kepada Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Terdahulu Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membuat pengumuman itu di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur hari ini.

Menjawab soalan wartawan, beliau berkata majoriti yang diperolehi adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

"Jumlahnya (sokongan) kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil.

"Bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” katanya ketika sidang media.

Dalam pada itu Ahli Majlis Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah berkata, sidang media Anwar adalah gerakan terakhir bagi menarik sokongan pengundi PRN Sabah.

"Bila Anwar kata Perikatan Nasional (PN) runtuh kerana beliau ada sokongan majoriti ahli Parlimen sebenarnya adalah untuk berikan isyarat pada rakyat Sabah supaya berikan sokongan pada Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung.

"Rata-rata kempen PH di Sabah mengunakan pendekatan Sabah for Sabah , sedangkan Warisan bersekongkol dengan DAP dan PKR.

"Soalan saya pada Mohd Shafie Apdal , DAP dan PKR ini parti Sabah atau semenanjung?" soalnya.

Armand berkata, beliau yakin rakyat Sabah tidak akan terpengaruh dengan mainan politik Anwar.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi berkata, parti itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.

Lihat Komen
ADS