Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ketua hakim gesa tolak pentadbiran lama 55 tahun
Diterbitkan:  Sep 24, 2020 12:27 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

PRN SABAH | Bekas ketua hakim negara, Richard Malanjun, menggesa rakyat Sabah supaya menolak pentadbiran lama yang sudah menerajui Sabah selama 55 tahun tetapi gagal memajukan negeri itu.

Dalam satu video klip yang dimuat naik menerusi media sosial semalam, Malanjun yang pernah disebut-sebut sebagai calon Warisan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, sekali lagi secara terbuka merayu undi bagi parti itu.

“Kepada semua rakan Sabah, saya bukan ahli politik, saya seorang pesara. Kenapa saya beritahu hari ini? Hanya satu sebab, saya tidak mahu tinggalkan dunia ini dengan perasaan bersalah kerana tidak berbuat apa-apa kepada rakan-rakan rakyat Sabah,” katanya dengan nada yang jujur tetapi tegas.

“Maka sebab itu saya keluar secara terbuka dan berkata mengapa kita perlu membuat keputusan yang bijak bagi pilihan raya ini,” kata Malanjun, yang juga merupakan pengundi di negeri bawah bayu itu.

“Sekiranya seseorang pernah pergi ke Pitas atau atas Moyog, mereka akan lihat tidak banyak yang berubah terutama di kawasan utara Sabah dan Pitas.

“Mereka masih miskin seperti dahulu,” jelasnya lagi.

Selain itu, Malanjun turut mempersoalkan adakah rakyat Sabah akan membenarkan parti yang cuba merampas mandat rakyat untuk kembali menerajui negeri itu.

“Shafie Apdal telah diberikan mandat untuk menerajui kerajaan tetapi mereka tidak membenarkannya. Mereka datang lagi. Adakah kita akan benarkan mereka untuk kembali dan teruskan apa yang sudah dilakukan kepada rakyat selama 55 tahun?

“Mengapa kita perlu ambil kembali ‘kuda lama’ yang menerajui negara kita selama 55 tahun tetapi hanya melakukan sedikit untuk Sabah melainkan, jika boleh saya kata, hanya menjaga diri mereka sahaja.

“Kita dah terseksa, adakah kita ingin biarkan anak dan keturunan kita juga terseksa. Dengan parti ini terus menerajui kita?,” soalnya Malanjun.

Tambahnya, dia juga menggesa rakyat supaya memberi peluang kepada Warisan untuk memajukan Sabah.

“Jangan biarkan diri kita senang terpengaruh dengan pemimpin yang hanya boneka kepada ahli politik Malaya (Semenanjung),” katanya tanpa menamakan parti tempatan tersebut.

“Undi secara bijak. Undi untuk Warisan Plus. Beri mereka peluang sekurang-kurangnya lima tahun untuk perubahan,” katanya.

Malanjun dilaporkan berkempen untuk calon sekutu Warisan, Upko di Kota Belud.

Rakyat Sabah akan mengundi pada 26 Sept.

PRN kali ini menyaksikan gabungan kerajaan terdahulu Warisan Plus akan berdepan Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Lihat Komen
ADS