Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan tamat kontrak projek KVDT2 semalam, kata peguam pada mahkamah
Diterbitkan:  Sep 25, 2020 9:06 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa kerajaan telah mengeluarkan surat penamatan kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, berkaitan satu kontrak bagi projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Peguam Kanan Persekutuan Nik Mohd Noor Nik Kar memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Pembinaan) Datuk Aliza Sulaiman bahawa surat itu diserahkan kepada syarikat berkenaan semalam.

“Untuk makluman mahkamah, saya dimaklumkan oleh pejabat Peguam Negara tengah hari ini bahawa surat pembatalan dihantar kepada Dhaya Maju LTAT menerusi kiriman berdaftar pada Khamis,” katanya.

Mahkamah hari ini dijadual mendengar permohonan Dhaya Maju LTAT bagi mendapatkan injunksi Erinford. Satu pihak yang merayu terhadap keputusan mahkamah boleh memohon injunksi Erinford, yang digunakan bagi menghentikan pihak lain daripada berurusan dengan perkara berkaitan tindakan undang-undang sehingga proses rayuan selesai.

Dhaya Maju LTAT pada 7 Sept, menfailkan saman terhadap kerajaan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, antara lain memohon bagi mendapatkan satu deklarasi bahawa terdapat kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan, menerusi satu surat penerimaan bertarikh 19 Ogos 2019.

Projek itu mendapat perhatian ramai selepas Menteri kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 project yang diberikan secara rundingan terus yang bernilai RM6.61 bilion semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ia termasuk projek KVDT2 yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT bernilai RM4.475 bilion.

Pada 28 Ogos Wee dalam satu kenyataan berkata kementeriannya akan membuka semula tender bagi projek KVDT selepas mengambil kira keputusan kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek yang dimaksudkan di bawah Dhaya Maju-LTAT terlalu mahal semasa di bawah pentadbiran PH.

Nik Mohd Noor yang mewakili kerajaan dan Wee berkata mereka perlu meletakkan surat berkenaan dalam afidavit yang berkaitan kepada permohonan injunksi plaintif.

“Kami kesuntukan masa untuk menyediakan afidavit. Jika boleh, kami mohon pihak defendan (kerajaan dan Wee) diberikan masa untuk menyediakan afidavit sehingga Rabu depan, dan mungkin kita boleh mendengar perkara ini (permohonan injunksi) Jumaat depan,” katanya.

Peguam Kuhendran Thanapalasingam yang mewakili Dhaya Maju LTAT berkata anak guamnya tidak menerima sebarang notis pembatalan (projek KVDT2).

“Sahabat saya (Nik Mohd Noor) berkata ada surat pembatalan, namun dia tidak kemukakan salinan surat itu hari ini. Anak guam saya ada di sini.. kami periksa dengan penyambut tetamu sehingga pengarah, tiada siapa yang terima surat itu,” kata Kuhendran dan menggesa mahkamah mendengar permohonan injunksi berkenaan hari ini.

Hakim Aliza berkata beliau perlu mengambil pendirian yang sama sebagaimana permohonan injunksi terdahulu minggu lepas, dan mengekalkan pendiriannya bahawa injunksi tidak boleh diberikan bagi menghalang kerajaan dan pegawai daripada melaksanakan tanggungjawab awam mereka.

“Mungkin saya silap, tapi saya fikir ini boleh dijadikan fakta untuk membawa perkara ini sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Permohonan ini (Erinford injunction) ditolak tanpa perintah yang merujuk kepada kos,” katanya.

Pada 18 Sept Hakim Aliza mengenepikan permohonan Dhaya Maju LTAT untuk mendapatkan injunksi interim bagi menghalang dan menyekat kerajaan daripada membatalkan atau menghentikan kontrak bagi projek KVDT2, sementara menunggu keputusan saman utama.

Selepas keputusan itu, peguam Dhaya Maju LTAT memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu akan menfailkan permohonan terhadap keputusan berkenaan di mahkamah rayuan, dan juga menfailkan injunksi Erinford.

Menurut saman itu, syarikat berkenaan turut memohon satu deklarasi bahawa sebarang pembatalan atau pemberhentian kontrak oleh defendan akan menjadi tidak sah, melanggar undang-undang, dan salah; selain satu injunksi terhadap kedua-dua defendan bagi menghalang dan menyekat mereka daripada mengambil tindakan atau mengambil langkah yang berkaitan dengan sebarang pembatalan kontrak.

Dhaya Maju LTAT antara lain memohon bagi mendapatkan jumlah belum dibayar RM137,054,534.21 daripada kerajaan dengan faedah lima peratus setahun bagi jumlah yang tertangguh sehingga tarikh penghakiman dan penyelesaian berakhir.

Syarikat itu turut memohon bagi mendapatkan bayaran ganti rugi yang akan dinilai terhadap liabiliti Wee, faedah, kos dan lain-lain ganti rugi yang dirasakan mahkamah sebagai sesuai dan berpatutan untuk diberikan.

Menurut kenyataan tuntutan, plaintif, syarikat usahasama 80:20 antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diperbadankan pada 5 Jun 2017, di bawah Akta Suarikat 2016, telah diberikan projek KVDT2 dengan cara surat penerimaan bertarikh 4 April 2018, dengan kontrak asal yang bernilai RM5.58 bilion.

Syarikat itu mendakwa ia memulakan kerja-kerja bagi projek berkenaan sebaik sahaja diberikan kontrak asal namun perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 menyebabkan kontrak asal ditamatkan defendan pertama pada 19 Okt 2018 melalui notis penamatan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan kononnya atas alasan kepentingan awam atau keselamatan negara atau kepentingan negara.

Plaintif mendakwa bahawa susulan penamatan kontrak asal, beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan antara kedua-dua pihak yang membawa kepada persetujuan penyelesaian yang dilaksanakan antara plaintif dan kerajaan pada 19 Ogos 2019.

Syarikat itu berkata selaras dengan syarat perjanjian penyelesaian melalui Surat Setuju Terima, ia telah dianugerahkan semula projek itu dengan jumlah kontrak disemak semula sebanyak RM4.475 bilion, dan plaintif telah melaksanakan tanggungjawabnya yang membolehkan projek itu mencapai kemajuan 24 peratus, yang berjaya dilaksanakan oleh 1,512 pekerja berdedikasi serta 261 syarikat perkhidmatan dan pembekalan.

Sehingga kini, plaintif berkata ia telah menyiapkan kerja-kerja yang disahkan untuk pembayaran melebihi RM300,763,033.12 pada tempoh berakhir pada 30 Jun 2020.

Syarikat itu berkata pada Mac 2020, sekali lagi berlaku perubahan dalam landskap politik Malaysia yang menyaksikan kerajaan gabungan baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional berkuasa, sekali lagi menyebabkan plaintif terjerumus dalam kancah kontroversi, kekeliruan dan ketidakpastian berkaitan projek berkenaan.

Plaintif mendakwa atas sebab-sebab yang tidak diketahui olehnya, kedua-dua defendan enggan atau gagal melaksanakan dokumen kontrak yang relevan walaupun terdapat syarat jelas yang mengkehendaki mereka berbuat demikian dalam tempoh empat bulan daripada tarikh Surat Penerimaan dikeluarkan selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan, yang sehingga kini, menurut plaintif, tidak ditandatangani.

Syarikat itu mendakwa walaupun terdapat kontrak antara plaintif dan kerajaan, Wee pada 28 Ogos lepas telah melalui siaran akhbar, mengumumkan keputusan untuk membatal atau menamatkan kontrak dengan plaitif serta membuka semula proses bidaan bagi projek itu menerusi sistem tender terbuka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS