Malaysiakini
BERITA

Anwar kena tunjuk bukti, kita sanggup pergi Dewan Rakyat - Dr M

Diterbitkan

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan dakwaan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan kerana pengumumannya itu boleh memberi kesan kepada pelaburan, perniagaan serta kestabilan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pelabur akan rasa keadaan tidak menentu apabila hari ini kerajaan lain, esok kerajaan lain pula, lusa tukar kerajaan lain lagi. 

"Saya harap kalau Anwar ada (majoriti) buktikan bahawa dia betul-betul mempunyai cukup bilangan dan kita putuskan perkara itu.

“Tunjuk bukti dan kita sanggup pergi ke Dewan Rakyat nak dengar siapa yang dapat sokongan dan siapa yang tidak mendapat sokongan," kata bekas perdana menteri itu kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Pengerak Pelancongan dan Pengusaha Hotel Langkawi, di Langkawi hari ini.

Macam mana nak sokong, Anwar tolak Pejuang

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, dalam sidang media Rabu lepas mendakwa telah mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

"Anwar dulu pernah buat dakwaan dia ada majoriti, sama juga selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri apabila Yang di-Pertuan Agong minta nyatakan pendirian, dia (Anwar) dakwa ada majoriti sehingga Pakatan Harapan (PH) beri namanya kerana anggap ada majoriti tetapi tidak cukup sebab memang tak ada pun majoriti,” kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkannya akan menyokong Anwar sekiranya memiliki majoriti, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata: “Anwar dah tolak Pejuang (semasa pengumuman baru-baru ini)...dia kata ada majoriti kecuali Dr Mahathir.

“Jadi saya ini ditolak terus. Jadi macam mana saya nak sokong dia? 

"Dia dah tolak kita awal-awal lagi," katanya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.