Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

PRN SABAH l Malaysiakini membawakan keputusan langsung bagi setiap 73 kerusi DUN yang dipertandingkan untuk menentukan jika Ketua Menteri Shafie Apdal dan Warisan Plus mampu mengekalkan kuasa atau kerajaan negeri baru akan mengambil alih.

Ikuti laporan langsung ini.

Hari penentuan untuk Sabah apabila lebih 1.12 juta orang pemilih berdaftar akan mengundi wakil rakyat masing-masing mulai jam 8 pagi ini.

Seramai 447 calon daripada 15 parti termasuk 56 calon Bebas, bersaing untuk merebut 73 kerusi DUN, dengan 13 kerusi baru ditawarkan pada pilihan raya ini.

LANGSUNG

 5.20 petang: Ikuti laporan langsung dari kami berkenaan keputusan PRN Sabah di pautan ini.

Semua 741 pusat mengundi di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, ditutup pada jam 5 petang tadi.

Terdapat juga pusat pengundian di beberapa kawasan ditutup lebih awal kerana jumlah pengundi tidak ramai. Ada ditutup pada 2 petang dan ada juga ditutup pada 3 petang.


Kiraan undi bermula

5.05 petang: Dewan Sri Lamag, Kinabatangan - Dengan tamatnya pengundian, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya tiba di pusat kiraan undi bagi N58 Lamag bersama kertas undi dari SK Sangau, pusat undi di bawah pusat daerah mengundi (PDM) Lamag.

Berdasarkan data SPR, PDM Lamag mempunyai 376 pengundi berdaftar.

Terdapat seramai 8,159 pengundi berdaftar di enam PDM di bawah DUN itu.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin bertanding di DUN tersebut yang terletak dalam kawasan Parlimen Kinabatangan yang dipegangnya sejak 1999.


Pusat mengundi ditutup

5 petang: Pengundian secara rasmi kini ditutup. PRN ini menyaksikan persaingan sengit dengan 73 kerusi DUN dipertandingkan. 


Peratus pengundian meningkat sedikit

3.50 petang: Setakat jam 3 petang tadi, data SPR menunjukkan 58 peratus daripada lebih 1,1 juta pengundi berdaftar sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Angka itu adalah 4 peratus lebih tinggi berbanding data pada jam 2 petang.


Ketua Pemuda Umno jalani kuarantin

3 petang: Kuala Lumpur - Ketua Pemuda Umno Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan dia kini menjalani kuarantin kendiri selepas dikenal pasti menjadi salah seorang kontak rapat calon BN untuk kerusi Pitas, Sufian Abd Karim, dan anggota Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii, yang disahkan positif Covid-19.

Asyraf Wajdi memberitahu Malaysiakini, dia diuji negatif untuk wabak itu sebanyak dua kali sebelum ini dan dijadual menjalani ujian ketiga Isnin ini.

Pun begitu Asyraf Wajdi tetap mengikuti dengan dekat perjalanan PRN Sabah dari rumahnya.


Pertembungan Star, PBRS rugikan GRS

3 petang: Secara umum pusat pengundian akan ditutup pada jam 5.00pm namun di beberapa tempat yang membabitkan jumlah pengundi kecil, ia ditamatkan lebih awal.

Ia memungkinkan keputusan tidak rasmi diketahui lebih awal.

Untuk kerusi Sook misalnya, penjumlahan menunjukkan PKR mendapat undi yang besar berbanding apa yang dicapai parti pada PRU 2018.

Untuk daerah mengundi Bonor, PKR mendapat 88 undi manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memperoleh 42 undi.

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pula hanya menerima 14 undi.

Star dan PBS adalah sebahagian daripada gabungan PN.

Pada PRU ke-14 lalu, BN menguasai pusat daerah mengundi Bonor dengan mendapat 91 undi, diikuti Warisan (30 undi) dan Star (2 undi). Dalam PRN ini, Warisan menyerahkan kerusi DUN itu kepada PKR.

Maklumat awal juga menunjukkan pertembungan di antara PN dan BN ketika kedua-dua mereka adalah sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi kesan yang ketara.

Sebagai contoh untuk daerah mengundi Malaing, PKR dijangka menguasai kawasan berkenaan akibat perpecahan dalam kalangan parti GRS. Gabungan itu sepatutnya boleh memenangi pusat daerah mengundi terbabit jika dilihat kepada jumlah undi yang diperolehi PN dan BN.

GRS dijangka menguasai pusat daerah mengundi Kalampun dan Lumiri, namun tetap dengan jumlah penurunan ketara.

Masih awal untuk menganggap PKR akan memenangi kerusi Sook tetapi peningkatan ini adalah signifikan memandangkan Warisan dan sekutunya tewas di setiap pusat daerah mengundi di situ dalam PRU14.

Sook ditandingi Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar. Turut bersaing untuk kerusi itu ialah Ellron Angin (Star), Bonepes Been (BN), Rebecca Taimin (Parti Cinta Sabah) dan Aning Ansawang (Parti Liberal Demokratik).

Ellron merupakan penyandang kerusi Sook yang mewakili Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada 2018, namun kini mewakili Star.


Warisan Plus yakin menang

2.15pm: SK Sungai Manila, Sandakan - Calon Warisan Plus untuk DUN Sungai Manila Prof Mahmud Suddin menyatakan rasa yakinnya gabungan itu akan mencapai kejayaan selepas berkempen selama dua minggu.

"Saya gembira dapat menunaikan tanggungjawab (untuk mengundi) dan bersama-sama dengan pengundi di sini," katanya yang ditemui media selepas mengundi.

DUN Sungai Manila merupakan satu daripada tiga kerusi yang diletakkan di bawah kawasan parlimen Libaran.

Mahmud Suddin

Dalam PRU ke-14 lalu kerusi Libaran dimenangi calon BN. Untuk rekod Sungai Manila merupakan kerusi baru. Pada 2018 hanya ada dua kawasan DUN di bawah Libaran iaitu Sungai Sibuga dan Gum-Gum.

Terdahulu calon DAP untuk kerusi DUN Tanjong Papat, Frankie Poon, mengundi bersama isterinya di Wisma Warisan. Poon merupakan penyandang kerusi berkenaan.

Tanjung Papat satu daripada DUN yang diletakkan di bawah kawasan parlimen Sandakan. Satu lagi DUN ialah Elopura.

Frankie Poon

DAP memenangi kerusi Sandakan dalam PRU 2018 serta mengasai DUN Tanjung Papat dan Elopura.


Power Rangers pun mengundi

2 petang: SMK Tansau, Penampang - Dengan jumlah keluar mengundi baru mencecah 54 peratus, Jabatan Penerangan Negeri Sabah menggunakan kuasa “Power Rangers” untuk menggalakkan orang ramai keluar menunaikan tanggungjawab sebelum proses itu ditutup jam 5 petang.

Di Facebooknya, jabatan itu berkongsi gambar seorang pengundi yang berpakaian watak The White Ranger daripada siri adiwira klasik Power Rangers.

“Power Rangers pun sudah turun mengundi tadi. Bah sudah kamurg (kamu orang) keluar mengundi? Waktu mengundi akan tamat pada jam 5 petang,” kata hantaran berkenaan.

engundi itu mencuri perhatian orang ramai di pusat mengundi dengan kostumnya yang lengkap dengan pedang dan topi keledar watak adiwara terkenal itu. 


Belum cecah 50 peratus

1.57 petang: Semporna - Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menyeru penduduk Sabah turun beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dalam PRN kali ini.

Bercakap melalui Twitter, Mohd Shafie berkata, masa mengundi hanya tinggal berbaki tiga ke empat jam saja lagi. Justeru pengundi perlu membuat pilihan masing-masing.

“Kepada seluruh rakyat Sabah yang layak untuk mengundi, saya berharap pada hari ini 26 Sept, kita dapat menunaikan tangungjawab sebagi seorang pengundi untuk turun mengundi ke pusat-pusat pengundian di mana yang kita layak untuk mengundi.

“Kita hanya mempunyai tiga hingga empat jam untuk menunaikan tanggungjawab di setiap pusat pengundian yang ada - ada yang tamat pada (jam) 3 petang, ada yang tamat pada jam 5 petang.

“Turunlah beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Sementara itu Setakat jam 1 petang tadi, SPR mengumumkan jumlah pengundi yang keluar mencecah 48 peratus.



41 peratus keluar mengundi

1 tengah hari: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratus keluar mengundi meningkat kepada 41 peratus setakat tengah hari.

Terdahulu Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh menyasarkan peratus keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus.

Dia juga menggesa pengundi yang keluar agar mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penularan Covid-19.

EMBED:


Papan iklan, bendera Warisan didakwa diturunkan diam-diam

12.45 tengah hari: Bingkor, Keningau - Anggota Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii mendakwa papan iklan dn bendera Warisan diturunkan secara rahsia pagi ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, anggota Parlimen DAP itu berkata pihaknya tidak pasti siapa yang melakukannya tetapi dipercayai ia bagi mensabotaj DAP dan Warisan.

"Ia usaha untuk memadamkan keberadaan kami agar apabila orang ramai ke tempat mengundi, mereka hanya melihat poster dan bendera PN.

"Sementara ini jelas tindakan sabotaj, saya yakin pengundi Bingkor bijak dan tidak akan dipengaruhi dengannya, sebaliknya akan memilih dengan bijak demi masa depan negara dan negeri mereka," katanya.

Sebuah papan iklan Warisan yang memaparkan gambar katak juga diturunkan.

Bingkor adalah kerusi yang ditandingi DAP. Calonnya Peter Saili mencabar penyandang Robert Tawik dari Star, dan empat calon lagi.


Calon BN Pitas positif Covid-19

12.50pm: Calon BN bagi DUN Pitas, Sufian Abd Karim mengesahkan dia positif wabak Covid-19.

Dalam hantaran di Facebook, Sufian memohon maaf kepada pengundi, petugas, jentera, rakan dan keluarga yang banyak membantunya ketika kempen atas perkara itu.

“Saya, Sufian Abd Karim, calon BN bagi N03 DUN Pitas baru saja mendapat keputusan ujian covid19 dan telah disahkan positif.

“Doakan semoga saya diberi kekuatan menghadapi ujian ini dan diberi kesembuhan yang segera. Mohon kepada semua yang pernah bersama saya mengambil langkah berjaga-jaga dan sewajarnya dengan membuat saringan," katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii dan Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan turut disahkan positif Covid-19 sebalik pulang dari Sabah, manakala Setiausaha Agung BN Annuar Musa diarah menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat Razlan.


12 tengah hari: Tadika Peak Nam Toong, Kota Kinabalu - Calon DAP untuk Luyang, Phoong Jin Zhe, berkata ada kesulitan untuk pengundi berusia di Institut Pendidikan Guru Gaya tadi.

Katanya, pusat mengundi di situ sepatutnya dibuat di salah satu bangunan yang sudah ditetapkan tetapi ditukarkan pada saat-saat akhir untuk mendapatkan ruang lebih luas sebagai mematuhi SOP Covid-19.

Phoong yang bertanding untuk mempertahankan kerusi Luyang berkata, keputusan itu memaksa pengundi yang berusia melalui jalan yang curam untuk sampai ke pusat pengundian baru.

Selepas berunding dengan pegawai SPR, katanya, akhirnya mereka dibenarkan dibawa menaiki van.


Ada yang tak balik

12 tengah hari: SMK Bahang, Kapayan - Tidak semua pengundi yang berada di luar kawasan sanggup pulang untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berkata ada ahli keluarga dan kawan-kawannya memilih untuk tidak pulang kerana isu Covid-19.

"Asalnya mereka mahu balik mengundi, sudah beli tiket kapal terbang tapi kemudian berpendapat ia bukan idea yang baik.

"Sesetengah mereka bekerja di Sarawak. Nanti kalau balik semula ke sana mereka kena kuarantin 14 hari," katanya.

Dilaporkan Sarawak mengenakan peraturan kuarantin 14 hari untuk sesiapa yang masuk ke negeri itu dari Sabah.


Data dari SPR

12 tengah hari: Kota Kinabalu - Peratusan pengundi yang keluar mengundi dalam PRN Sabah mencecah 32 peratus setakat jam 11 pagi tadi, kata SPR.

Untuk PRN kali ini, seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa layak mengundi, manakala seramai 14,935 orang mengundi secara pos.

Pengundian dibuka jam 7.30 pagi tadi di 741 pusat mengundi dan 2,540 saluran itu masih berlangsung, dan akan ditutup jam 5 petang nanti. 


Keluar ikut saranan SPR

11.30 pagi: SMK Bahang, Kapayan - Beberapa pengundi - kebanyakannya golongan berusia - merungut kerana menunggu giliran sehingga hampir dua jam sebelum dapat mengundi.

Antara punca pengundi terbabit tidak berpuas hati ialah kerana nasihat yang diberikan SPR melalui kad yang dihantar ke rumah masing-masing menggesa mereka keluar antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Ekoran saranan itu, mereka keluar mengikut masa yang dinyatakan dan terpaksa berbaris panjang - sehingga lebih 50 orang - di koridor tingkat dua sekolah berkenaan.

"Mana pegawai SPR? Kami berbaris panjang di sini. Panggil orang SPR tolong kami," kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Teo dan mendakwa sudah menunggu lebih sejam namun belum sampai gilirannya mengundi.

Menurut Teo, di saluran lain pengundi hanya menunggu selama lima minit sebelum dapat mengundi.

"Mengapa mereka tak arahkan sebahagian pengundi di sini ke saluran lain?" katanya.

Turut menyatakan rasa tidak puas hati ialah Lina Ekol yang mengaku menunggu hampir dua jam dan masih belum dapat mengundi.

"Saya pesara SPR. Masalah begini tak pernah berlaku," katanya.

Seorang lagi pengundi menyalahkan saranan SPR yang menggalakkan kumpulan umur tertentu keluar pada masa yang ditetapkan.

"Maka saya ikut saranan itu, dan orang lain pun sama," katanya.

SMK Bahang adalah satu daripada tujuh pusat pengundian untuk kerusi DUN Kapayan membabitkan 30,034 pengundi. 

Sementara itu pegawai SPR yang bertugas berkata mereka mengambil maklum aduan yang disuarakan dan mengambil langkah segera bagi mengatasinya.

"Sekarang kami membenarkan dua pengundi memasuki bilik mengundi serentak," katanya.

Katanya, langkah itu dijangka akan mengurangkan tempoh menunggu di beberapa saluran kerana seramai 70 orang boleh mengundi sejam berbanding 25 sebelum itu.

Untuk pengundi berusia lewat pula, katanya, mereka patut mengundi di tingkat bawah dan bukannya naik ke tingkat dua.


Yakin DAP pertahan Luyang

11.20 pagi: Tadika Peak Nam Toong, Kota Kinabalu - Seorang pengundi untuk DUN Luyang, Oliver Simon Funk, 44, yakin DAP akan memenangi kerusi berkenaan sekali lagi.

Dia juga beranggapan kerajaan Warisan mentadbir Sabah dengan sangat baik berbanding kerajaan terdahulu.

Funk juga berkata, SPR menasihatkan agar pengundi berusia seperti dia untuk mengundi antara jam 8 pagi dan 10 pagi, tetapi kemudian memutuskan untuk tidak mengikutnya.

Oliver Simon Funk

Seorang warga emas, Tee On Ben, memberitahu SPR menggalakkan pengundi berusia untuk datang antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Tee juga memuji prosedur yang ditetapkan adalagh sangat baik dan terkawal.

Kerusi Luyang ditandingi penyandang, Phoong Jin Zhe, yang berdepan dengan lima pencabar.


Bung mengundi

11.15 pagi: SMK Bukit Garam, Kinabatangan - Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dan isteri Nor Asidah Alimudin, tiba untuk mengundi.

Ahli parlimen Kinabatangan itu berdepan cabaran dalam pertandingan lima penjuru.

Bung Moktar dijadual kembali ke Kota Kinabalu selepas ini untuk menyertai pemimpin BN lain di ibu pejabat Umno untuk menunggu keputusan pengundian.


Ramalan Ilham

11.10 pagi: Semalam Ilham Centre meramalkan daripada keseluruhan 73 kerusi DUN Sabah, Warisan selesa untuk memenangi 23 manakala Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) memenangi 19 lagi.

Firma penyelidikan bebas itu berkata, untuk baki 31 lagi kerusi lain, Warisan Plus pula memiliki kelebihan di 14 kerusi manakala GRS berpeluang cerah di lima kerusi lagi.

Ilham Centre juga berpendapat persaingan untuk 12 kerusi lain adalah sengit. Bagaimanapun ia tidak menamakan kerusi berkenaan.


Musa mengundi

11:05 pagi: SK Sungai Manila, Libaran - Bekas ketua menteri, Musa Aman, mengundi di untuk kerusi DUN Sungai Manila.

Bekas Adun Sungai Sibuga itu semalam hadir di sini untuk berkempen menyokong BN. Untuk rekod Musa merupakan ketua Umno Libaran selama lebih 20 tahun sehingga 2018.

Di Sungai Sibuga, calon BN, Mohammad Hamsan Awang Supain, berdepan bekas ketua Wanita Umno Libaran, Armani Mahiruddin, yang bertanding sebagai calon Warisan.


Dapat rasakan khabar gembira

10.20 pagi: SRK Sacred Heart, Kota Kinabalu - Calon PKR untuk kerusi Api-Api, Christina Liew, hadir untuk mengundi selepas melawat tiga pusat pengundian lain bagi memantau perjalanan di sana.

Dia yang bertanding untuk mempertahankan kerusi berkenaan berkata, ada beberapa "masalah kecil" dengan proses pengundian akibat SOP mengekang penularan Covid-19.

Liew menyapa salah seorang pengundi

Bagaimanapun, pengerusi PKR Sabah itu berkata, ia sudah dapat diatasi.

Ditanya sama mengenai kemungkinan pengumuman Anwar Ibrahim mengenai kedudukan kerajaan pusat akan memberi kesan kepada PRN Sabah, Liew berkata, dia tidak tahu.

"Fokus kami sekarang ialah PRN Sabah," katanya.

Liew juga menjangkakan kebanyakan calon PKR kali ini akan memenangi kerusi masing-masing.


Jalan jauh bikin panas

10.15 pagi: SMK Bukit Garam, Kinabatangan - Kerana tugas, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia tetap tabah mengambil bacaan suhu badan pengundi Lamag ketika badan mereka sendiri berbalut pakaian perlindungan dalam cuaca yang semakin membahang.

Walaupun belum sampai tiga jam bertugas sejak pusat pengundian itu dibuka, pancaran matahari sudah teruk.

Ia mendorong lebih ramai pengundi terpaksa dibiarkan 'bertenang' terlebih dahulu selepas bacaan suhu mencatatkan lebih 37 darjah Celsius.

Kebanyakan mereka memberitahu petugas terbabit, mereka perlu berjalan agak jauh dari kenderaan masing-masing sebelum sampai ke kawasan sekolah yang menjadi pusat pengundian.


Calon PN yakin menang

10 pagi: SK Serusup, Tuaran - Calon PN bagi DUN Sulaman, Hajiji Mohd Noor tiba dengan mengenakan baju batik berona jingga dan putih dan lengkap bersongkok dan berpelitup muka.

Dia hadir bersama isterinya Julia Salag untuk mengundi di situ.

Pengerusi Bersatu Sabah itu ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi kira-kira jam 10.10 pagi menyifatkan proses pengundian berjalan dengan teratur, memuaskan dan mengikuti SOP yang ditetapkan.

“Mudah-mudahan pengundian ini akan selesai, dan semua boleh mengundi sebelum pusat ini ditutup," katanya.

Menurut Hajiji lagi jika corak kehadiran pengundi kekal memuaskan, dia yakin mampu mencapai kemenangan besar di pusat daerah mengundi Kampung Serusup itu.


Harap ramai datang mengundi

10 pagi: PDM SK Pekan, Tambunan - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan tiba bersama isterinya Cecilia Edwin untuk mengundi.

Walaupun menjangkakan peratusan mengundi rendah kerana kebimbangan terhadap Covid-19, ahli parliken Keningau itu berharap orang ramai menunaikan tanggungjawab kerana langkah pencegahan dan berjaga-jaga diambil.

Dia bertanding untuk mempertahankan kerusi Tambunan yang memiliki 16,511 pengundi.


Datang empat kali

10 pagi: Kota Kinabalu - Veteran DAP, Lim Kit Siang, menganggap PRN hari ini seperti pilihan raya umum dan ia boleh memberi kesan terhadap kelangsungan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataannya, Lim mengingatkan pengundi Sabah bahawa pilihan mereka memberi kesan besar dan menyeluruh kepada Malaysia.

"Pengundi Sabah yang mengundi hari ini bukan saja memilih siapa menjadi ketua menteri tetapi masa depan perdana menteri Malaysia.

"Tidak pernah ada perdana menteri yang berkempen di Sabah segigih Muhyiddin sebelum ini," katanya.

Menurut ahli parlimen Iskandar Puteri itu lagi, Muhyiddin datang ke Sabah sebanyak empat kali sejak bulan lalu namun tidak pernah melawat negeri berkenaan untuk tempoh enam bulan pertama menjadi perdana menteri.


Calon bebas puas hati

9.50 pagi: SRK Sacred Heart, Kota Kinabalu - Calon bebas untuk kerusi Api-Api, Sim See Heng, hadir untuk melihat perjalanan proses mengundi di pusat berkenaan.

Dia hadir selepas melaksanakan tanggungjawabnya di SJK(C) Chung Hwa.

Kata Sim dia berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian.

Di SJK(C) Chung Hwa pula katanya perjalanan proses mengundi berjalan dengan baik dan ada ruang yang cukup luas untuk membolehkan penjarakan fizikal dibuat.


Enggan terlebih yakin

9.30 pagi: SK Sugud, Moyog - Calon Warisan Plus untuk Moyog, Darell Leiking, tiba bersama isterinya, Jennifer Jongij.

Bagaimanapun pasangan itu hanya dapat mengundi selepas kira-kira 30 minit kerana menyapa permintaan orang ramai dengan sebahagian daripada mereka yang mahu berswafoto.

Ketika ditanya Darell, 49, enggan mengulas mengenai peluangnya untuk memenangi keruri berkenaan.

"Kita tak elok terlalu yakin," katanya yang juga anggota parlimen penampang.

Ia merupakan kali pertama Darell bertanding untuk kerusi DUN.

Ada 19,465 pengundi berdaftar di kawasan Moyog dengan 71.12 peratus terdiri daripada etnik Kadazandusun Murut.

Selain Darell, ada enam lagi calon mencuba nasib termasuk PN, Parti Cinta Sabah dan Parti Bersatu Sabah.


Dapat kebenaran KKM

9.25 pagi: SMK Bukit Garam - Sebuah ambulans Jabatan Pertahanan Awam tiba membawa sepasang suami isteri yang sedang menjalani kuarantin kendiri. Mereka adalah pengundi berdaftar yang diletakkan bawah siasatan untuk kes Covid-19.

"Kami bukan pesakit positif, kami cuma dalam kuarantin," kata salah seorang daripada mereka kepada pegawai perubatan yang bertugas untuk mengambil suhu badan pengundi.

Seorang petugas kemudian memberitahu Malaysiakini pasangan terbabit memiliki surat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengesahkan mereka boleh meninggalkan rumah untuk mengundi.


Periksa sebelum masuk

9.10am - PDM SK Pekan, Tambunan, Keningau - Pengundi dari Gereja Katolik Tambunan hadir untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sebelum dibenarkan masuk ke pusat pengundian, kakitangan SPR mengambil suhu badan mereka.

Turut kelihatan beberapa pengundi yang hadir dengan pakaian tradisional.


Calon PBS mengundi

9.10 pagi: : SJK(C) Chung Hwa, Kota Kinabalu - Calon PBS untuk kerusi DUN Api-Api, Yee Moh Chai, tiba untuk mengundi.

Sama seperti orang lain Yee menunggu giliran untuk mengikuti SOP yang ditetapkan sebelum diberi kertas undi.

Dia sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan orang ramai.

Yee tiba ditemani isteri dan seorang pembantunya.


Terima kasih wira negara

9 pagi: Ketika kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan di Sabah, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, lima pegawai kesihatan dari Selangor dan lima lagi dari Negeri Sembilan dihantar ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

Katanya langkah berkenaan dibuat untuk mengukuhkan usaha mengekang jangkitan wabak berbahaya itu.

Menurut Noor Hisham 10 pegawai perubatan KKM itu tiba di Lahad Datu semalam.

Katanya mereka merupakan kakitangan dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah; Hospital Jempol, Hospital Jelebu, Hospital Tuanku Jaafar di Seremban dan Hospital Port Dickson.

Lima lagi ialah dari Hospital Serdang, Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam, Hospital Kajang dan Hospital Sungai Buloh.

"Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap-sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

"Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini," katanya di Facebook.

Sebelum ini kumpulan pertama sudah dihantar ke Sabah membabitkan kakitangan dari Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur yang tiba di Tawau awal minggu ini.

Sehingga 12 tengah hari semalam, Sabah merekodkan 730 kes aktif dengan kebanyakannya berpusat di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak. 


Tetap yakin pada Warisan

8.30 pagi: SK Sugud - Seorang pengundi, Corney Lius, berkata untuk kerusi DUN Moyog, dia memilih calon Warisan Darell Leiking.

"Perjuangan mereka belum selesai," kata pengundi berusia 40 tahun itu.

Darell Leiking

Katanya lagi, dia tidak percaya Warisan sebuah parti yang memperjuangkan nasib pendatang tanpa izin sebaliknya ia merupakan imej yang dipropagandakan oleh laskar siber musuh parti berkenaan.

"Saya tetap yakin kepada Warisan," katanya.

Corney juga memberitahu sebahagian daripada lapan ahli keluarnya adalah pengundi Warisan.

Moyog merupakan kerusi majoriti Kadazandusun Murut.


Laluan masuk, keluar tunggal

9 pagi: SJK(C) Chung Hwa, Kota Kinabalu - Segelintir pengundi nampaknya masih belum biasa dengan SOP yang ditetapkan ekoran ancaman Covid-19.

Pusat pengundian dipersiapkan dengan hanya satu pintu masuk dan satu pintu keluar namun tidak semua pengundi menyedarinya.

Hal itu menyebabkan sesetengah mereka cuba keluar dari laluan mereka masuk sebelum mereka dibantu petugas untuk keluar dari jalan yang ditetapkan.

SPR juga menyediakan kerusi roda untuk memudahkan pengundi kurang upaya atau orang tua.


Bantuan buat yang memerlukan

8.35 pagi: SMK Bukit Garam, Kinabatangan - Pegawai SPR membantu warga emas, Nursalin Darum, 65, untuk mengundi bagi kerusi DUN Lamag.

Nursain dibantu dua pegawai SPR sehingga proses berkenaan selesai.


Peratusan pengundi mungkin turun

8.30 pagi: SK Bubul, Semporna - Mohd Shafie Apdal meninggalkan pusat mengundi setelah selesai membuang undi.

Ditanya pemberita di hadapan kenderaannya, Mohd Shafie mengaku mungkin akan berlaku penurunan kadar keluar mengundi akibat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dilaksanakan di pusat-pusat mengundi.

“Biasanya dalam lingkungan 70 peratus lebih (keluar mengundi). Tetapi agak lambat, dan ditokok tambah oleh SOP, mungkin tidaklah seperti yang dahulu, tetapi mungkin kita akan pastikan mereka akan turun mengundi menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Berkenaan PRN yang dilakukan dalam masa wabak, terutamanya di Sabah, kata Shafie, kerajaan akan memastikan tindakan kawalan diperketatkan selepas PRN seperti tidak lagi menggalakkan ceramah dan perhimpunan, selain mengetatkan kawalan sempadan.

“Saya telah nasihatkan pengawalan sempadan contohnya, sebahagian besar datangnya wabak ini daripada jiran-jiran kita, terkadang itu mereka datang berziarah.

“Dan saya pun dah maklum kepada pihak Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) supaya perketatkan sedikit,” katanya sebelum pergi meninggalkan kawasan pusat mengundi.  


Calon yakin menang

8.20 pagi: SK Bingkor, Keningau - Calon Parti Solidariti Tanah Airku (Star) untuk DUN Bingkor, Robert Tawik Sudan, tiba mengundi di saluran 2.

"Kita berkeyakinan kita akan menang. Sokongan daripada PBS (Parti Bersatu Sabah) tambah mantap lagi," katanya.

Sebelum ini, PBS mengumumkan untuk menghentikan kempen mereka di Bingkor dan Tambunan sebagai satu cara penyelesaian pertindihan kerusi antara mereka dengan dan Star.

PDM ini mempunyai jumlah pengundi seramai 1727 orang.

Robert Tawik


Saring sebelum mengundi

8.15 pagi: SJK(C) Chung Hwa, Kota Kinabalu - Pengundi disaring terlebih dulu sebelum dibenarkan masuk ke pusat pengundian.

Proses itu turut dipantau pegawai kesihatan bagi memastikan semua SOP yang ditetapkan - seperti penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu badan - dipatuhi.

Untuk keselesaan pengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan kerusi yang disusun pada jarak satu meter antara satu sama lain sebagai langkah berjaga-jaga mengelak penularan Covid-19.

8.15 pagi: PDM SK Bingkor, Keningau - Stesen saringan disediakan kepada pengundi yang melebihi suhu badan 37.5℃ dan bergejala penyakit Covid-19.

"Mungkin ada pengundi yang suhu panas disebabkan cuaca dan sebagainya, kami akan saring dahulu, kemudian baru dibenarkan mengundi di sini," kata seorang pegawai kesihatan. 


Shafie, isteri antara terawal

8.10 pagi: SK Bubul, Semporna - Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal tiba untuk mengundi. Dia tiba bersama isterinya, Shuryani Shuaib, dengan mengenakan baju putih dan berpelitup muka.

Petugas di kaunter masuk melaksanakan prosedur operasi standard yang ditetapkan sebelum membenarkan pasangan terbabit masuk ke pusat pengundian berkenaan.

Mohd Shafie sempat melambaikan tangan ke petugas media yang menunggunya sejak pagi sebelum bergerak ke bilik pembuangan undi. 


Sanitasi dua jam sekali

8.05 pagi: SK Sugud - Sekolah ini adalah satu daripada pusat mengundi untuk kerusi DUN Moyog. Sebagai langkah berjaga-jaga pegawai kesihatan melakukan sanitasi ke atas kotak kertas undi setiap dua jam.

Berpuluh-puluh pengundi - kebanyakannya berusia 20-an dan 30-an berbaris mengikut saluran yang ditetapkan.

Di luar kawasan sekolah, seorang lelaki memberitahu Malaysiakini ada perkhidmatan membawa datang pengundi ke situ disediakan pegawai anggota parlimen setempat.

Katanya bantuan tersebut diberi kepada pengundi yang tidak memiliki kenderaan untuk ke pusat pengundian.

"Ini arahan pejabat ahli parlimen. Kami bawa 10 pengundi bagi setiap perjalanan dari kampung berhampiran," katanya.

Untuk calon kerusi DUN Moyog, Warisan diwakili Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking. Berlaku pertembungan tujuh penjuru untuk kerusi DUN ini.


8 pagi: Kinabatangan - Orang ramai mula berbaris di luar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam, Kinabatangan.

Mereka mula hadir dan menunggu di sini seawal jam 7.30 pagi tadi walaupun pusat mengundi hanya dibuka 30 minit kemudian.

Ia satu daripada 12 pusat mengundi untuk kerusi DUN Lamag.

Kerusi ini ditandingi Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dan dia akan mengundi di SMK Bukit Garam. Ada 2,503 pengundi berdaftar di pusat pengundian ini.

Secara keseluruhan ada 8,159 pengundi untuk kerusi Lamag yang terletak di bawah kawasan parlimen Kinabatangan. Bung Moktar ialah ahli parlimen kawasan terbabit sejak 1999.


PRN kali ini diadakan ekoran cubaan - yang digagalkan - Musa Aman mahu mengambil alih kerajaan negeri selepas sejumlah wakil rakyat Sabah berpaling tadah dan menyokong bekas ketua menteri itu pada akhir Julai lalu.

Sehari kemudian - atau pada 30 Julai - Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin, kemudian bersetuju dengan nasihat diberikan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal untuk membubarkan DUN Sabah

Ia menjadi lebih menarik kerana menyaksikan buat pertama kali Perikatan Nasional (PN) bertanding bersama-sama BN serta parti tempatan yang bersekutu dengan mereka.

Selepas penamaan calon, didapati berbelas kerusi menyaksikan pertembungan sesama parti dalam gabungan berkenaan dengan sesetengahnya dikatakan dapat diatasi sebelum hari mengundi.

PRN kali ini juga diadakan ketika ancaman wabak Covid-19 masih meluas dengan banyak kes dilaporkan di Sabah.

Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan berbanding 60 sebelum ini.

Warisan sedang cuba mempertahankan kerajaan itu melalui kerjasama dengan DAP, PKR, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menjadi Warisan Plus.

Pada sisi bertentangan pula ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan PN, BN and Parti Bersatu Sabah (PBS).

Tidak ketinggalan ialah parti tempatan seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan calon bebas.

Lihat Komen
ADS