Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CIJ gesa akses maklumat sama rata terhadap semua media
Diterbitkan:  Sep 28, 2020 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

Kerajaan perlu memberi akses maklumat kepada semua media dan bukan kepada agensi media kerajaan sahaja, kata Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) sempena International Day for Universal Access to Information (Iduai) hari ini.

Pengarah eksekutifnya Wathshlah G Naidu berkata, sejak beberapa bulan lalu, CIJ melihat ruang untuk mendapat maklumat dan laporan media yang kian mengecil di Malaysia, atas alasan penularan Covid-19.

"Misalnya, akses untuk sidang media tertentu oleh menteri yang menyalurkan maklumat berhubung Covid-19 dihadkan kepada 'media rasmi'. Paling ketara, sidang media harian oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

“Pada 26 Jun lalu, ketua editor portal kesihatan CodeBlue Boo Su-Lyn disoal siasat polis ekoran laporan yang memetik dapatan jawatankuasa siasatan bebas mengenai kebakaran Hospital Sultanah Aminah pada 2016.

“Dia disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkenaan tindakan mendedahkan maklumat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wathshlah menyifatkan keadaan ini sebagai 'amat membimbangkan".

“Pertamanya, rakyat ada hak untuk tahu apa yang berlaku dan membuat pandangan sendiri berdasarkan pelbagai sumber maklumat.

“Kedua, sebarang tapisan dan kawalan terhadap media oleh kerajaan akan mewujudkan vakum maklumat.

“Ketiga, trend menghadkan akses kepada agensi media kerajaan menimbulkan situasi hanya berita dan persepsi berat sebelah dapat dicapai orang awam.

“Sudah tiba masa untuk menggantikan budaya berahsia (secrecy) di peringkat persekutuan dengan budaya keterbukaan agar selaras dengan kehendak rakyat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban di semua peringkat pentadbiran," katanya lagi.

Wathshlah juga berharap kerajaan akan meneruskan usaha pentadbiran terdahulu untuk memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan menggubal undang-undang berkaitan hak mendapat maklumat.

Lihat Komen
ADS