Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pihak menghentikan perbincangan yang mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Bernama, Perdana Menteri berkata, jika perbincangan ini tidak dibendung dan tidak dikawal, akan timbul satu situasi ketegangan di kalangan rakyat yang terdiri daripada berbilang agama dan kaum di negara ini.

"Isu agama merupakan satu isu yang cukup sensitif, lebih sensitif daripada isu kaum, maka dengan itu akhbar perlu menjalankan tanggungjawabnya tidak memperbesar-besarkan isu ini dengan melaporkan berita yang boleh menimbulkan kemarahan atau ketegangan yang boleh membawa kepada perkara yang kita tidak ingini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini Selasa.

Justeru, semua pihak terutamanya media perlu berhati-hati dalam hal ini, katanya mengulas percubaan pihak tertentu membincangkan soal menghidupkan Majlis Antara Agama (IFC) dan mahu pihak berkenaan menghentikan segera segala perbincangan mengenainya.

Katanya, Kabinet telah pun menangguhkan keputusan mengenai penubuhan IFC maka tidak perlu lagi ada sebarang perbincangan mengenainya, kerana apabila ada perbincangan, akan timbul perkara-perkara yang tidak diingini kerana semua pihak akan memberikan pendapat masing-masing.

"Majlis Tertinggi Umno berpendirian seboleh-bolehnya IFC tidak diadakan langsung walaupun kita fahami perasaan kaum dari agama lain di negara ini tetapi situasinya telah mencapai satu tahap membimbangkan kita semua," katanya.

Elak ketegangan

Oleh itu Perdana Menteri meminta semua pihak supaya tidak mengaktifkan kegiatan yang berkaitan dengan IFC, sambil menegaskan, kerajaan, akan membuat keputusan mengenainya.

Kerajaan juga, katanya, sedang memerhati dengan rapi perkembangan yang berlaku dan bimbang jika kegiatan itu masih dilakukan, akan timbul situasi yang tidak diingini di negara ini.

Sementara itu, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, semua bahagian Umno yang akan mengadakan persidangan perwakilan bermula 3 Ogos ini boleh menjemput mana-mana anggota Majlis Tertinggi (MT) atau menteri bagi merasmikan mesyuarat masing-masing.

Anggota Exco Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pula boleh diundang merasmikan persidangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri di peringkat bahagian, kata Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Selasa.

Perdana Menteri berkata kebenaran itu bertujuan membolehkan pemimpin Umno dalam MT dan menteri memberikan penerangan pada mesyuarat itu berkaitan projek yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), misi nasional dan isu lain yang perlu diperjelaskan.

Mengenai kempen menambah bilangan anggota parti, Abdullah berkata sehingga akhir bulan lepas seramai 85,296 anggota baru telah didaftarkan.

Katanya Terengganu mempunyai paling ramai anggota baru iaitu 19,892 orang, diikuti Johor (13,113 orang) dan Sabah (9,877 orang) manakala bahagian yang paling ramai mendaftarkan anggota baru ialah Kuala Terengganu (4,759 orang), Kemaman (4,193 orang) dan Ranau (3,947 orang).