Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah batal saman Najib terhadap bekas pegawai Ambank

Bekas pegawai bank, Joanna Yu berjaya dalam usahanya membatalkan saman berkaitan 1MDB terhadapnya oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas pengurus hubungan AmBank itu untuk membatalkan saman berkenaan semasa prosiding mahkamah terbuka petang ini.

Keputusan hari ini juga terpakai untuk permohonan serupa oleh AmBank.

Sebelum ini, mahkamah dilaporkan menetapkan hari ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan Yu dan Ambank bagi membatalkan saman berkenaan.

Pada 10 Dis tahun lalu, Najib memfailkan saman terhadap Yu dan Ambank kerana didakwa mengambil arahan dan mendedahkan maklumat akaunnya kepada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho atau juga dikenali sebagai Jho Low.

Pada 29 Januari lalu, Yu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib. AmBank kemudiannya memfailkan permohonan serupa.

Semasa membacakan keputusannya petang ini, hakim Mahkamah Tinggi Khadijah Idris berkata tindakan undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan.

"Setelah mempertimbangkan afidavit (antara bukti semasa prosiding), mahkamah ini berpendapat bahawa tindakan plaintif adalah bersifat melampau (scandalous), sembrono, menjengkelkan dan penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Hakim berkata fakta kes menunjukkan Najib hanya memulakan saman terhadap Yu dan AmBank setelah pihak pendakwaan dalam kes membabitkan SRC International membuktikan bahawa dia (Najib) tidak pernah mengadu atau menyaman defendan (Yu dan AmBank) berhubung dakwaan manipulasi akaun banknya oleh pihak ketiga.

"Tindakan (saman) ini oleh plaintif bukan untuk menuntut ganti rugi tetapi untuk tujuan jaminan bagi mendukung (pihak pembelaan) plaintif dalam kes SRC, dan dengan demikian merupakan penyalahgunaan proses mahkamah," kata Khadijah.

Pada 18 Ogos semasa perbicaraan di mahkamah berhubung permohonan berkenaan, peguam Yu, Gurdial Singh Nijar mempersoalkan mengapa Najib mengemukakan saman terhadap bekas pegawai bank itu ketika Peguam Negara Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada kesalahan dalam kes SRC pada 2016 .

Gurdial kemudian berpendapat bahawa tindakan Najib tidak memfailkan saman itu sebelumnya terhadap Yu atau pihak bank memperkuat anggapan bahawa saman tersebut adalah usaha untuk menyokong pembelaan bekas perdana menteri itu dalam perbicaraan SRC International.

Dalam kes SRC, Najib didakwa menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta.

Pada 28 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berasingan telah mensabitkan Najib atas satu tuduhan penyalahgunaan kuasa, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC International.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri itu.

[Baca berita penuh]

ADS