Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPD bersasar di 4 daerah di Sabah mulai tengah malam ini
Diterbitkan:  Sep 28, 2020 3:56 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Kerajaan mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentabdiran di empat daerah di Sabah berkuat kuasa tengah malam ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata empat daerah tersebut ialah Lahad Datu, Tawau, Kunak, and Semporna.

"PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 29 September 2020 sehingga 12 Oktober 2020 dan akan melibatkan seramai 962,661 orang penduduk," katanya.

Ismail berkata, penguatkuasaan PKPDB secara pentadbiran itu atas nasihat Kementerian Kesihatan selepas 1,195 kes Covid-19 dilaporkan di empat daerah itu sepanjang bulan ini.

Sepanjang satu hingga 27 September (semalam), dia berkata Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).

Semua penduduk di sana dilarang keluar dan pelawat juga tidak dibenarkan masuk sepanjang penguatkuasaan perintah itu, dengan semua laluan keluar masuk akan ditutup.

Semua kegiatan perniagaan juga perlu dihentikan kecuali yang menjual barangan keperluan dan perkhidmatan penting.

Pihak berkuasa akan membuka pengkalan perubatan di daerah terlibat.

Pengumuman Ismail ini selepas tamatnya PRN Sabah Ahad lalu dengan Gabungan Rakyat Sabah muncul sebagai pemenang dengan 38 daripada 73 kerusi.

Sabah menjadi negeri dengan penularan Covid-19 tertinggi dengan beberapa kluster seperti Bangau-Bangau, Laut, Benteng LD, Buang Sayang, Kampung Sakong, dan Pulau.

Semalam, sejumlah 150 kes baru Covid-19 dilaporkan dengan kebanyakannya - iaitu 124 kes - adalah di Sabah.

Sekurang-kurangnya 15 kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang,Johor dan Melaka juga dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS