Kementerian Pendidikan amat kesal dengan sikap kontraktor-kontraktor yang gagal menyiapkan makmal komputer di sekolah seluruh negara mengikut tempoh yang sepatutnya, kerana ia menghalang pengaliran ilmu kepada pelajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan.
"Kecuaian mereka yang gagal menyiapkan makmal komputer ini akan melemahkan perjalanan untuk menimba ilmu oleh anak sekolah," kata Datuk Abdul Aziz Shamsuddin dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Program Membekal Komputer Kitar Semula ke Sekolah Seluruh Negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Program itu adalah anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sains Komputer Universiti Putra Malaysia (Bepeskom) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, UPM dan kerajaan-kerajaan negeri.
Menurut beliau, hampir semua kontraktor yang terbabit dalam projek pembinaan makmal komputer di sekolah-sekolah tersebut, gagal menyiapkannya.
"Hampir semua (kontraktor) gagal dan bermasalah," katanya.
Menurutnya, projek pembinaan yang mula diserahkan kepada kontraktor pada awal 2000 lalu, sepatutnya siap akhir tahun ini.
"Sepatutnya semua sekolah mempunyai makmal komputer akhir tahun ini. Malah ada (kontraktor) yang janji akan menyiapkannya sebelum Oktober (tahun ini), tapi gagal berbuat demikian," katanya.
Kontraktor baru
Kerajaan sebelum ini telah mengarahkan pembinaan 2,400 buah makmal komputer sekolah di seluruh Malaysia. Makmal komputer itu adalah salah satu langkah memperlengkapkan keperluan infrastruktur sekolah bestari di seluruh negara.
Bagi menangani masalah itu, Abdul Aziz berkata, tindakan akan diambil terhadap kontraktor yang terbabit dalam projek pembinaan makmal, dengan menyerahkan projek itu kepada kontraktor baru.
"Pada akhir bulan ini kementerian akan mengenal pasti (kontraktor) yang tidak selesaikan kerja mereka," katanya.
Apabila ditanya mengenai kerugian yang ditanggung kerajaan, beliau berkata: "Kerugian dari segi wang tidak banyak, tetapi yang lebih membimbangkan ialah rugi dari segi mendapat ilmu. Kerajaan ada wang untuk sediakan kemudahan (makmal komputer) tetapi ia gagal disiapkan kerana kecuaian itu."
Dalam pengumuman pakej perangsang ekonomi bernilai RM4.3 bilion September lalu, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM600 juta bagi kerja membaik-pulih bangunan kerajaan dan membina makmal komputer di 2,000 sekolah seluruh negara.
