Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis dielak setelah porfolio Bung 'ditukar' lepas angkat sumpah

Bersatu dan Umno dilihat sedikit berselisih sebaik selepas kerajaan baru Sabah menangkat sumpah pagi ini.

Bagaimanapun ia berjaya diredakan selepas ketua menteri baru, Hajiji Mohd Noor setuju untuk menukar portfolio timbalannya.

Hajiji dan Bung Moktar Radin serta empat lagi mengangkat sumpah di Istana Negeri di Kota Kinabalu pagi ini. Hajiji adalah pengerusi Bersatu Sabah manakala Bung pengerusi Umno negeri.

Ketika acara angkat sumpah, senarai portfolio yang dipegang menteri baru Sabah diumumkan dan disebarkan kepada media.

Bung yang menjadi timbalan ketua menteri pada mulanya diberikan portfolio perumahan dan kerajaan tempatan. Dua lagi timbalan, iaitu Presiden Star Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joachim Gunsalam masing-masing mendapat portfolio pertanian dan perikanan serta pembangunan perindustrian.

Bung mahu memegang portfolio kerja raya tetapi Hajiji pada mulanya memberikan tanggungjawab itu kepada Masidi Manjun daripada Bersatu.

Menteri keenam yang mengangkat sumpah adalah Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim yang memegang porfolio pembangunan luar bandar.

Sebaik selepas angkat sumpah, pihak dalam Perikatan Nasional (PN) mendedahkan bahawa Bung tidak gembira dengan portfolio yang diberikan dan bercadang membuat sidang media di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, sebelum sidang media yang dijadual pada pukul 1.30 tengah hari itu diadakan, dia dipanggil ke pejabat setiausaha kerajaan engeri Sabah.

Hajiji elak pertelagahan terbuka

Dengan sidang media itu ditangguhkan, Hajiji mengadakan rundingan dengan pemimpin Umno bagi mengelakkan sebarang ketegangan.

Bung dilihat masuk ke pejabat Hajiji pada pukul satu tengah hari. Turut bersamanya ialah Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid serta setiausaha agung Ahmad Maslan.

Akhirnya, pada sidang media yang diadakan pada pukul dua petang, Hajiji mengumumkan Bung dan Masidi akan saling bertukar portfolio.

Bung akan memegang Kementerian Kerja Raya, seperti yang diinginkannya, manakala Masidi menjadi menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya ingin umumkan timbalan ketua menteri satu merangkap menteri Kerja Raya adalah Bung Moktar.

"Manakala menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menteri Kewangan II (Masidi Manjun). Dia akan bantu saya dalam kewangan terutama sekali untuk memulihkan ekonomi negeri dan menghadapi wabak Covid-19," kata Hajiji.

Hajiji juga menyangkal sebarang konflik antara dia dengan Bung.

"Tiada masalah tukar (portfolio). saya hanya mahu Masidi bantu saya kerana latar belakangnya yang berpengalaman dalam kewangan dan ekonomi," katanya.

Ditanya jika Umno tidak gembira, Hajiji kemudian berpaling ke arah Bung dan berkata: "Itu tak betul, Umno ada di sini". Kata-kata itu disambut dengan ketawa Hajiji dan Bung.

Masidi Manjun

Dalam satu sidang media berasingan kemudian, Bung turut menyifatkan ia bukanlah satu isu.

"Ini bukan isu, cuma salah komunikasi.

"Kita gembira. Sekarang tanggungjawab kita adalah bantu kerajaan dan rakyat," katanya.

'Akan cerita lepas bersara'

Walaupun Bung dan Hajiji cuba menunjukkan pertukaran tersebut sebagai bukan di luar kebiasaan, Masidi tidak berselindung dalam menyatakan kejutannya.

"What a day! kurang tiga jam selepas dilantik menteri Kerjay Raya, saya kini menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya di Twitter.

"Saya tukar portfolio dengan Bung. Jangan tanya saya apa sebabnya. Saya akan cerita semua selepas bersara," katanya lagi.

Hajiji dijangka akan melantik lima lagi menteri dalam masa terdekat.

Menurutnya perbincangan telah diadakan dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pemilihan enam Adun lantikan - satu sistem yang hanya diamalkan dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

GRS merangkumi PN (Bersatu, Star dan SAPP), BN (Umno, PBRS dan MCA) dan PBS.

Gabungan itu menang 38 daripada 73 kerusi DUN dalam PRN pada 26 September lalu iaitu melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Warisan Plus - dianggotai Warisan, PH dan Upko - hanya meraih 32 kerusi DUN.

Tiga lagi kerusi dimenangi calon bebas yang telah diyakinkan Hajiji untuk menyokong pentadbirannya.

Lihat Komen
ADS