Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pilihan raya Sabah kebiasannya lebih unik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dan kadang kala membingungkan, dengan senarai calon yang panjang, banyak parti bersaing dan kepelbagaian etniknya.

Malaysiakini meneliti data pilihan raya dan cuba menjawab beberapa soalan yang ditimbulkan oleh pembaca dan wartawan.

Kerusi mana yang bertukar tangan?

Sebanyak 18 kerusi bertukar tangan antara parti atau calon bebas pada pilihan raya ini.

Sembilan melibatkan Umno, di mana tujuh kerusinya - semuanya dimenangi pada 2018 atas tiket Umno-BN - kini dimenangi oleh Bersatu yang menyertai Gabungan Rakyat Sabah.

Upko tewas empat kerusi yang dimenanginya pada 2018 ketika masih menjadi parti komponen BN, manakala Warisan tewas tiga kerusi.

Adakah 'pertandingan persahabatan' penting bagi GRS?

Beberapa parti dalam Gabungan Rakyat Sabah saling bertanding sesama sendiri untuk merebut 17 kerusi. Biasanya, pakatan pilihan raya dibentuk untuk mengelakkan pertembungan bagi meningkatkan peluang menang.

Bagaimanapun ia tidak menjadi masalah bagi pekatan itu kerana mereka tidak menafikan kemenangan parti-parti lain dalam gabungan berkenaan.

Daripada 17 kerusi ini- Warisan Plus menang lima - kesemuanya dengan lebih daripada 50 peratus undi.

Bagaimanapun, Warisan Plus tewas dalam pertandingan di 12 kerusi lain di mana calon GRS menang di situ.

Siapa parti paling untung?

Pilihan raya Sabah 2020 adalah pilihan raya aneh yang menyaksikan kedua-dua pakatan - Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan Plus - memperoleh keuntungan.

Ini kerana terdapat pertambahan sebanyak 13 kerusi baru, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 73 kerusi.

Bersatu, yang tidak meletakkan calon di Sabah semasa pilihan raya umum 2018, memperoleh keuntungan terbesar (+11), diikuti oleh Star (+4).

Bagaimanapun seperti yang dibincangkan sebelumnya, tujuh kerusi yang dimenangi Bersatu adalah kerusi yang dimenangi atas tiket BN-Umno pada 2018.

Parti yang paling rugi pula adalah Upko (-5), diikuti oleh Umno (-3) dan PBRS (-1).

Umno memenangi 17 kerusi pada 2018 tetapi menang 14 kerusi kali ini. 

Ia memperoleh lima kerusi baru, mempertahankan sembilan kerusi tetapi tewas tiga kerusi.

Umno tewas kerusi Lumadan kepada anggota GRS, PBS. Ia juga tewas di Pitas dan Kemabong kepada calon bebas.

Bagaimanapun boleh dikatakan bahawa jika bukan kerana Bersatu, Umno merupakan parti yang paling untung daripada semua parti.

Siapa menang undi popular?

Warisan Plus memenangi undi popular tetapi tipis (43.5 peratus undi) berbanding Gabungan Rakyat Sabah (43.2 peratus).

Sebaliknya, pada 2018 Warisan dan Pakatan Harapan memperoleh 47.19 peratus undi popular sementara BN memperoleh 42.04 peratus.

Siapa hilang wang deposit terbanyak?

Tiada yang lebih memalukan bagi seorang ahli politik selain hilang wang deposit pilihan raya.

Untuk mengelakkan hilang wang deposit (RM5,000 bagi pilihan raya negeri), seseorang calon harus mendapat sekurang-kurangnya satu perlapan daripada jumlah undi.

Pilihan raya Sabah 2020 menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperoleh RM1,155,000 wang deposit yang tidak dipulangkan.

Lapan parti mencatatkan prestasi yang baik termasuk Star, yang menyaksikan peningkatan berbanding PRU 2018, apabila enam calon mereka hilang wang deposit ketika itu.

Lima parti menyaksikan semua calon mereka hilang wang depositi.

Mengetuai senarai itu adalah bekas parti kerajaan, Parti Liberal Demokratik (LDP) iaitu sebanyak 46 kerusi.

Bekas presidennya Chong Kah Kiat yang juga bekas ketua menteri - hanya berjaya memperoleh 9.5 peratus undi di Inanam.

Parti yang tewas kerusi terbanyak adalah Parti Cinta Sabah, dengan 68 calon kehilangan deposit, sekali gus menyumbang RM340,000 kepada SPR.

Di tempat kedua adalah kedudukan seri antara LDP dan United Sabah National Organisation (Usno) dengan 46 kerusi.

Dua parti kerajaan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - MCA dan Parti Progresif Sabah (SAPP) - juga memiliki calon yang hilang wang deposit.

Dua belas daripada 56 calon bebas berjaya menyelamatkan wang depositi mereka dan tiga daripadanya menang di kerusi yang ditandingi.

Calon-calon bebas mesti ambil perhatian tentang ini: Sekiranya terdapat banyak calon bebas, pastikan nama anda berada di kotak teratas pada kertas undi.

Keputusan pilihan raya Sabah 2020 menyaksikan tiada calon bebas yang nama mereka terletak di bawah pada kertas undi dapat menyelamatkan deposit mereka.

Bagaimana tentang Adun lompat parti?

Terdapat 19 Adun yang melompat parti setelah terpilih pada PRU 2018 dan dicalonkan semula pada pilihan raya negeri 26 Sept lalu.

Keputusan menunjukkan bahawa daripada angka tersebut, hanya tujuh yang tewas. Analisis yang lebih terperinci di sini.

Jumlah keluar mengundi yang rendah beri kesan?

Pada tahun 2018, kadar keluar mengundi di Sabah adalah 77 peratus. Kali ini adalah sebanyak 66.1 peratus.

Kawasan-kawasan yang paling teruk dilanda Covid-19 - Lahad Datu, Semporna dan Tawau - menyaksikan jumlah keluar mengundi yang jauh lebih rendah berbanding jumlah purata 55.72 peratus.

Kadar yang lebih rendah ini tidak memberi banyak kesan di daerah-daerah ini dengan tiada parti yang benar-benar mendapat untung (kemenangan Bersatu di Apas adalah disebabkan meletakkan penyandang).

Secara keseluruhan, seperti yang dibincangkan pada awal artikel ini, hanya beberapa kerusi yang benar-benar bertukar tangan. Oleh itu, sukar untuk mengatakan bahawa kadar keluar mengundi yang rendah mempengaruhi pengundian secara keseluruhan.

Adakah 'malapportionment' bantu mana-mana parti?

Sabah adalah sebuah negeri di mana jumlah pengundi sangat condong ke kawasan luar bandar - 59 peratus dari 73 kerusi mempunyai pengundi kurang daripada purata pengundi Dun sebanyak 15,405 pengundi.

Sebagai contoh, Banggi mempunyai 5,961 pengundi yang layak dan satu undi di sini bersamaan lima kali ganda undi di Kapayan, yang memiliki 30,034 pengundi.

Walaupun jelas dari jadual di bawah bahawa beberapa parti lebih berjaya di kawasan yang lebih kecil, perlu diperhatikan bahawa Warisan, Umno, Bersatu dan Star memenangi kerusi yang memiliki jumlah pengundi purata.

Warisan menunjukan prestasi lebih baik berbanding parti lain. Sepuluh daripada 23 calonnya menang di kerusi yang mempunyai lebih banyak pengundi berbanding jumlah pengundi purata.

Lihat Komen
ADS