Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penuntut IPT mahu sebar mesej kasih sayang buat LGBT

Mungkin ada sesetengah pihak yang berasa komuniti transgender perlu disisihkan daripada masyarakat namun bagi penuntut, Nur Izzati Elya Alfian, 22, dia memilih pendekatan berbeza.

Jelas pelajar tahun ketiga pengajian dakwah dan pengurusan Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) wajar diberikan bantuan dan dorongan untuk kembali ke pangkal jalan.

“Kami (bersama sahabatnya) berasa terpanggil untuk menyantuni golongan LGBT yang mahu berhijrah (berubah) dengan memberikan motivasi dan semangat kepada mereka melalui video pendek," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Melalui video yang dihasilkan dengan bantuan rakan-rakannya, Nur Izzati memuat naik klip berkenaan di Twitter, Instagram dan TikTok bersama tanda pagar #tetapbangga. Ia kemudian mula tular sejak kelmarin.

Untuk rekod, #tetapbangga merupakan tanda pagar yang digunakan komuniti transgender dan penyokongnya bagi menyuarakan hak kebebasan mereka di Twitter.

Menerusi video tersebut, Nur Izzati memegang beberapa plakad untuk memberi nasihat buat golongan tersebut.

“Buat pengikut saya yang dikasihi dan yang teribat dengan LGBT, saya harap kamu lapangkan masa untuk melihat (video) ini.

“Saya tahu ramai yang sukar untuk mengeluarkan diri dari tempat gelap itu. Saya juga tahu anda tidak diminta dilahirkan begini, bahkan kamu juga tidak mahu keinginan itu ada dalam diri.

“Jika kamu sudah buat keputusan untuk membantu diri (sendiri) dan membuat hijrah (perubahan), kamu boleh ke pusat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kementerian agama dan majlis agama Islam.

“Kami sayang anda, Allah juga sayang. Kami ada di sini dan pilihan di tangan kalian,” katanya menerusi beberapa plakad yang ditayangkan dalam video tersebut.

Ada terharu, ada mengecam

Sehingga malam tadi, video tersebut sudah mencecah 4,700 ulang ciap di Twitter, 24,000 tontonan di Instagram dan 74,500 tanda suka di TikTok .

Nur Izzati menjelaskan antara alasan lain dia menghasilkan video tersebut ialah kerana bimbang terhadap peningkatan penyokong golongan tersebut.

“Sangat membimbangkan. Kami takut masyarakat akan terpengaruh dengan ideologi LGBT yang cuba dinormalkan di Malaysia.

“Disebabkan Twitter ni bersifat trending (sohor kini) dan bebas mengkritik, tiada pengawasan, maka memerlukan seni yang halus dan berhikmah untuk mengulas sesuatu isu,” katanya lagi.

Dia yang juga merupakan seorang penulis buku berkata reaksi yang diterima daripada klip video berkenaan adalah pelbagai. Misalnya ada yang menangis terharu, namun ada juga yang mengkritik.

“Sangat ramai yang menghubungi saya dan berkongsi rasa serta masalah. Saya juga mengesyorkan agensi berwajib seperti Jakim, majlis agama Islam dan NGO berkaitan agar dapat bantu mereka secara terus.

“Penerimaan pula sangat positif terutama di TikTok. Ramai golongan LGBT yang tersentuh dan menangis selepas melihat video tersebut.

“Tapi penerimaan di Twitter sedikit berbeza. Ada sebahagian LGBT yang menggelar saya homophobia,” katanya.

Sementara itu Nur Izzati juga menasihatkan orang ramai supaya menggunakan TikTok untuk berdakwah kerana ia merupakan aplikasi yang digemari anak muda.

Kata pelajar berasal dari Banting itu, rugi jika kemudahan tersebut tidak dimanfaatkan oleh pendakwah.

“Ramai sebenarnya yang dahagakan kasih sayang dan ingatan saudara sesama Islam. Mereka memerlukan mesej-mesej dakwah daripada kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS