Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
600 murid diuji lepas isteri ahli politik dijangkiti Covid-19
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 4:40 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Para ahli politik yang pulang dari Sabah telah mencetuskan 'kekecohan' di Pulau Pinang dan Melaka.

Sekitar 600 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga di Pulau Pinang terpaksa menjalani ujian swab untuk Covid-19 dan diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian.

Ini selepas seorang guru wanita disahkan dijangkiti wabak itu.

Menurut laporan Bernama, difahamkan guru wanita berusia 40-an itu merupakan isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang pergi berkempen di Sabah ketika PRN baru-baru ini.

Laporan itu juga menyebut, guru wanita itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di hospital di Kedah.

Selepas guru itu diuji positif, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPNPP) menutup SK Permatang Janggus selama lapan hari.

"Sebarang keputusan lain akan dibuat selepas kami bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia," kata Pengarah JPNPP Abdul Rashid Abdul Samad.

Dalam perkembangan lain, bangunan pentadbiran kerajaan Melaka, Komplek Seri Negeri ditutup selepas Adun Ayer Limau, Amiruddin Yusof mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah.

Amiruddin dipetik Astro Awani berkata beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lalu.

"Pada Selasa, saya hubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah untuk mengetahui keputusan ujian swab ke atas saya yang dilakukan di KLIA.

"Saya maklumkan nombor kad pengenalan saya kepada pegawai bertugas dan dimaklumkan keputusan Covid-19 saya adalah negatif dan diminta untuk datang dan potong gelang.

"Selepas saya potong gelang, saya teruskan aktiviti harian saya seperti biasa sebab saya tiada sebarang simptom," katanya.

Amiruddin selanjutnya dilaporkan berkata, selepas disahkan negatif dan gelang kuarantin dipotong pada Rabu beliau telah ke Kompleks Seri Negeri "sebab ada urusan yang perlu diselesaikan."

"Selepas itu, saya balik ke rumah dan berehat. Pada sebelah petang, isteri saya maklumkan yang exco kesihatan kata yang saya positif Covi-19.

"Waktu itu pihak PKD Alor Gajah sudah ada di hadapan rumah untuk membawa saya ke hospital," katanya.

Menurut laporan Astro Awani, Amiruddin dimaklumkan terdapat kesilapan maklumat yang diberi oleh pihak PKD Alor Gajah kepadanya.

Bagaimanapun, Adun Ayer Limau yang kini dimasukkan ke Hospital Besar Melaka tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak susulan kesilapan itu.

Terdahulu, Harian Metro memetik sumber berkata "Adun berkenaan mengunjungi Seri Negeri, termasuk minum di kafetaria kompleks berkenaan."

"Atas arahan pihak berkuasa, kompleks itu ditutup serta-merta dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dipanggil untuk melakukan sanitasi dan nyahkuman di keseluruhan komplek berkenaan," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS