Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad memberi jaminan tiada dwistandard (double standard) dalam usaha kerajaan mewujudkan Tabika elit selenggaraan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Sebaliknya, kata Abdul Rahman, cadangan itu merupakan usaha kerajaan membuka peluang kepada ibu bapa golongan M40 menghantar anak-anak mereka bagi menangani isu kuota kemasukan di Tabika Kemas sedia ada.
"Pihak kementerian memberi jaminan tiada istilah double standard dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) meliputi modul, bahan pengajaran, fasiliti dan tenaga pengajar seperti yang dilaksanakan di semua premis Tabika Kemas pada masa kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kritikan pelbagai pihak terhadap cadangan kementeriannya mewujudkan Tabika Kemas Elit yang juga dikenali sebagai Tabika Kemas M40.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara yang menggesa kerajaan supaya menolak cadangan tersebut.
Wan Azizah yang juga bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata hasrat itu hanya akan melebarkan jurang di antara golongan B40 dan T20, sekali gus boleh menyebabkan keretakan perpaduan masyarakat.
Abdul Rahman berkata isu kuota kemasukan di Tabika Kemas pada masa ini antara salah satu punca kementerian mahu mewujudkan Tabika Kemas M40.
"Setelah hampir 30 tahun beroperasi, jumlah permohonan kemasukan ke Tabika Kemas semakin meningkat khususnya daripada kumpulan pertengahan (M40) berdasarkan hasil kajian yang telah dibuat.
"Kementerian akan mengenal pasti nama Tabika Kemas yang sesuai setelah dibentangkan dan mendapat kelulusan kabinet," katanya.
