Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

NGO Pertubuhan Persaudaaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) telah menyerahkan memorandum kepada kementerian pertanian dan industri makanan di Putrajaya hari ini susulan masalah kelewatan biji benih padi dan eksploitasi harga yang dihadapi pesawah sejak beberapa musim lalu.

Exco NGO terbabit, Abdul Rashid Yob, 41, berkata, jadual menanam padi telah bermula di Perlis dan Kedah sejak 9 September lalu untuk petani di kawasan fasa 1 namun majoriti tidak dapat memulakan tanaman kerana bekalan benih masih tiada di pasaran.

Tambahnya, petani juga mengalami masalah kenaikan harga benih yang melampau di sebahagian tempat.

“Para petani sering diingatkan untuk mengikut jadual waktu yang ditetapkan ini kerana ia berpandukan bekalan air yang disalurkan di pusat tadahan.

“Namun majoriti petani dari fasa 1 hingga fasa 2 masih tidak dapat memulakan tanaman kerana bekalan benih yang diinginkan oleh petani tiada dalam pasaran.

“Lebih malang lagi, bekalan benih yang terhad yang ada dijual di sebahagian tempat pula mengalami kenaikan harga yang melampau sehingga maksimum RM60 sedangkan harga subsidi di pintu kilang sepatutnya hanya RM28,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan pejabat kementerian itu.

Tambah Abdul Rashid, masalah yang berlaku ini seolah-olah tidak ada apa-apa perubahan yang berkesan yang dilakukan oleh kerajaan dahulu mahupun sekarang.

Malah katanya, dia sudah menghantar memorandum tahun lalu namun masih tiada respons kerajaan.

“Kami sudah hantar juga tahun sudah (tahun lalu) tetapi tiada tindakan. Mungkin (sebab) kerajaan bertukar,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai lapan wakil NGO dari negeri Perak dan Kedah yang hadir bagi menyerah memorandum tersebut.

Selain itu, dia juga berpendapat punca masalah tersebut ekoran jadual pengairan yang dikeluarkan tanpa mengira kapasiti pengeluaran benih oleh syarikat dilantik itu.

Pihaknya juga mendakwa berlaku salah guna kuasa oleh pihak tertentu yang mengaut keuntungan terhadap benih yang diluluskan.

“Ditambah pula dengan andaian kami bahawa berlaku salah guna kuasa oleh pihak berwajib yang mengambil komisen terhadap benih yang diluluskan.

“Pihak pengeluar benih saban tahun menuntut subsidi sebanyak RM20 bagi setiap bag 20kg benih.

“Kuota benih subsidi yang ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak 75,000 metrik tan setahun. Subsidi yang bernilai jutaan ringgit ini diterima terus kepada syarikat pengeluar dengan tanggungjawab untuk menjamin bekalan yang mencukupi dan berkualiti,” katanya lagi.

Jelas Abdul Rashid, pihaknya turut memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi menyelesaikan hal tersebut.

Katanya, kerajaan sewajarnya menghapuskan sistem kuota pengeluaran benih kepada syarikat-syarikat tertentu dan membuka lesen kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk membekalkan benih itu.

“Kerajaan juga mestilah memperkenalkan harga siling bagi benih padi agar tidak ada pihak yang akan mengeksploitasi harga jualan runcit benih tersebut.

“(Kerajaan juga wajar) mempergiatkan usaha untuk menggalakkan petani memproses dan menyimpan benih padi sendiri daripada hasil tuaian setiap musim agar tidak bergantung 100% kepada benih komersial,” katanya lagi.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak MOA dan sedang menunggu respons.

Lihat Komen
ADS