Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noraini mohon maaf, harap IPT bertimbang rasa
Diterbitkan:  Oct 3, 2020 12:50 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad memohon maaf susulan penangguhan proses pendaftaran dan orientasi pelajar universiti awam pada saat-saat akhir.

Kenyataannya itu muncul sehari selepas tindakan tersebut mendapat kecaman dan kemarahan terutamanya daripada pelajar IPT di media sosial.

Ini kerana kebanyakan pelajar telah melakukan persediaan awal termasuk membeli tiket bas dan kapal terbang serta ada yang telah tiba di kampus sebelum pengumuman itu dibuat.

“Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 ini,” kata Noraini dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Noraini turut berharap pihak IPT bertimbang rasa dalam menguruskan isu berbangkit susulan penangguhan tersebut.

“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini.

“Kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak universiti.

“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti,” katanya.

Kementerian Pengajian Tinggi semalam mengumumkan pihaknya menggalakkan universiti awam untuk menangguhkan sebarang pendaftaran fizikal susulan lonjakan jumlah kes Covid-19.

Pengumuman saat akhir itu menyebabkan kesukaran kepada pelajar dan ibu bapa.

Ini kerana ada antara mereka yang telah melakukan persediaan awal termasuk menyewa rumah penginapan, menempah tiket kapal terbang dan ada ibu bapa yang telah mengambil cuti untuk menghantar anak mereka ke IPT.

Susulan itu, sebilangan besar pelajar menyatakan kekecewaan mereka di laman Facebook Noraini.

Tanda palang #MenteriKPTsilaletakjawatan juga menjadi trending di Twitter.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama KPT dikritik selepas dikatakan menyebabkan kekeliruan di kalangan pelajar.

Pada Mac, arahan yang mengelirukan antara KPT dan Majlis Keselamatan Negara menyebabkan pelajar bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai penutupan kampus ekoran Covid-19.

KPT kemudiannya mengambil keputusan membenarkan pelajar tinggal di kampus.

Lihat Komen
ADS