Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu bapa gesa KPM tangguh sesi persekolahan fizikal

TINJAUAN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil langkah drastik menangguhkan sesi persekolahan secara fizikal susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Tinjauan Malaysiakini mendapati rata-rata ibu bapa pelajar di sekolah rendah dan menengah menyatakan kebimbangan walaupun langkah pencegahan dan prosedur standard operasi (SOP) dijalankan.

Seorang ibu kepada dua orang anak di bangku sekolah rendah dan menengah, Noorizan Ahmad, 55 berkata, kebimbangan sekarang ialah virus ini sudah bermutasi dan merebak.

Katanya, wabak Covid-19 merebak dengan cepat di merata-rata lokasi termasuk sekolah.

"Di penjara yang dikawal ketat pun virus boleh masuk, apa sangatlah dalam kalangan budak-budak.

"Lagi pun pembawa virus ni bukannya ada tanda apa-apa yang boleh kita kesan di mukanya. Maknanya, sesiapa saja boleh jadi pembawa.

'Tak benar anak ke sekolah'

"Maka jalan paling selamat ialah, tangguhkan dulu sesi persekolahan fizikal. Anak-anak di asrama perlu diizinkan supaya balik ke rumah ibu bapa. Ibu bapa lega, guru-guru pun tak terbeban dan keselamatan lebih mudah dikawal," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Bagi Nasir Johan, 53 (gambar, bawah) pula, dia membuat keputusan untuk tidak membenarkan anaknya ke sekolah sejak seminggu lalu susulan peningkatan kes Covid-19.

Langkah itu katanya, sebagai pencegahan awal yang terpaksa diambil bagi mengelak risiko jangkitan.

"Sebagai bapa saya amat gusarkan kesihatan anak-anak terutamanya pelajar dalam menghadapi pendamik Covid-19 yang kembali muncul dengan ganasnya.

"Dengan kes positif harian mencecah lebih 400 kes sekarang ia sangat membimbangkan ibu bapa terhadap wabak yang berbahaya ini kepada anak-anak yang bersekolah.

"Satu keputusan yang pantas harus diambil KPM bagi menggantung persekolahan buat sementara bagi mengelakkan nasi menjadi bubur. Kita tidak mahu nasi menjadi bubur, menteri dan ahli politik pun ramai yang dijangkiti

"Sebagai ibu bapa kepada anak-anak yang bersekolah,kami mohon pertimbangan KPM dalam hal ini bagi menghilangkan kegusaran kami.

"Kebijaksanaan dan pertimbangan yang cerdik wajar diambil pihak berkenaan," katanya.

Gambar hiasan: SK Permatang Janggus ditutup susulan gurunya positif Covid-19.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kementerian dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berkaitan kebimbangan ibu bapa.

Portal ini juga sedang cuba mendapatkan maklum balas kementerian berkaitan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diberi kuasa menutup sekolah jika terdapat kes melibatkan pelajar mereka.

Sementara itu seorang guru besar sebuah sekolah di Terengganu berkata, pihak sekolah turut khuatir dengan risiko yang dihadapi pelajar dan guru-guru.

Katanya, walaupun langkah pencegahan dan SOP diambil ia dilihat masih berisiko dan mencabar untuk memastikan pelajar patuh kepada SOP.

Rekod kes tertinggi

"Misalnya dalam soal penjarakan sosial, semasa keberadaan guru di kelas ia boleh dikawal. Tetapi pada waktu lain ramai yang tidak ambil berat.

"Pelajar sekolah rendah misalnya mereka cenderung untuk bermain bersama kawan-kawan termasuk selepas sesi persekolahan.

"Namun di pihak sekolah kami hanya bertindak sebagai pelaksana kepada arahan-arahan pihak atasan. Jika arahan sesi persekolahan ditangguh kami hanya menurut perintah, begitu juga sebaliknya," katanya yang enggan namanya disiarkan.

Buat masa ini, Malaysia dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini.

Negara menyaksikan kenaikan mendadak kes Covid-19 sejak bulan lalu, dengan keadaan kian memburuk sejak minggu lalu.

Rekod kes harian tertinggi dipecahkan tiga kali dalam masa seminggu, dengan jumlah kes baru semalam merupakan jumlah tertinggi dengan 432 kes.

Pada 2 Oktober, sebanyak 287 kes positif dilaporkan, menjadikannya kes tertinggi sejak 4 Jun.

Keesokannya pula, iaitu pada 3 Oktober, sebanyak 317 kes baru dilaporkan.

Selain itu, semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad disahkan positif wabak itu, membuatkan pihak berkuasa mengadakan ujian terhadap menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang turut menyertai mesyuarat yang dihadirinya pada Sabtu lalu.

Dua Adun Selangor, iaitu Lim Yi Wei (Kampung Tunku) dan Shatiri Mansor (Kota Damansara) turut disahkan positif.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu bapa yang mana anak mereka belajar di sebuah sekolah di Kota Damansara menyatakan kerisauan apabila salah seorang pelajar di sekolah itu menghadiri majlis tilawah dan hafazan al Quran Kebangsaan yang dihadiri Dr Zulkifli.

Katanya, kerisauan itu susulan pengesahan menteri berkenaan didapati positif Covid-19.

"Pelajar itu memenangi tempat ketiga pertandingan tilawah dan menerima hadiah daripada Dr Zulkifli.

"Hari ni ramai ibu bapa tidak membenarkan anak mereka ke sekolah, malah ada yang memohon cuti dua minggu daripada pihak sekolah," katanya yang enggan didedahkan identiti.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS