Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Skoliosis bukan lagi tragis seperti si Quasimodo

Setiap tahun, dianggarkan tiga juta kanak-kanak yang berumur antara 10-12 tahun didiagnos menghidapi skoliosis di Amerika Syarikat.

Penyakit watak protagonis novel tersohor The Hunchback of Notre Dame tulisan Victor Hugo yang diterbitkan pada awal kurun ke-19 ini, sebenarnya boleh dirawat jika dikesan lebih awal.

Ia juga tidak memerlukan pembedahan dengan risiko dan kos yang tinggi.

Skoliosis adalah keadaan tulang belakang membengkok lebih 10 darjah dari ukuran yang normal.

Tulang belakang yang sepatutnya lurus akan kelihatan seperti huruf S atau C melalui imbasan x-ray.

Penyakit yang dikatakan mempunyai unsur keturunan ini akan dapat dikawal jika dapat dikenal pasti daripada awal.

Sebaliknya, jika dibiarkan tanpa rawatan, keadaan tulang belakang akan terus membengkok dan akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain, selain keperluan kepada rawatan pembedahan.

Sehingga kini, penyebab utama penyakit ini masih belum diketahui.

Terdapat beberapa tanda fizikal untuk mengenal pasti keadaan seseorang individu yang mengidap penyakit skoliosis.

Tanda yang paling jelas adalah bahu pesakit tidak sekata.

Bahu kanan dan kiri mereka akan kelihatan tidak rata, sama ada melalui pengamatan visual, atau bila dilakukan pengukuran secara kuantitatif.

Keadaan ini juga kadangkala menghasilkan ukuran panjang kedua-dua tangan yang tidak sama.

Selain itu, terdapat juga benjolan di belakang badan pesakit menunjukkan petanda awal tulang belakang pesakit yang semakin membengkok.

Saiz benjolan ini adalah berkadar dengan tahap bengkokan tulang belakang yang terhasil.

Petanda fizikal paling jelas seseorang itu menghidapi skoliosis ialah mereka akan berjalan senget.

Saringan di sekolah

Bentuk pergerakan yang tidak normal ini disebabkan oleh struktur tulang belakang yang membengkok dan memberi kesan kepada kedudukan tulang pinggul semasa berjalan.

Saringan kesihatan untuk mengesan tanda awal skoliosis mula diperkenalkan di sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak akhir 1990-an.

Ini bertujuan bagi mengenal pasti pesakit lebih awal dan seterusnya memulakan program rawatan pemulihan bersesuaian.

Program saringan serupa belum lagi dimulakan di negeri-negeri lain.

Penyakit ini dikategorikan mengikut julat umur pesakit.

Untuk kanak-kanak bawah tiga tahun, penyakit ini dinamakan infantile scoliosis.

Ia berkemungkinan disebabkan oleh kecacatan sejak lahir atau dalam rahim, masalah saraf dan otot, jangkitan kuman dan ketumbuhan.

Juvenile scoliosis pula berlaku kepada kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan tiga hingga 10 tahun.

Idiopathic scoliosis adalah kategori yang paling kerap dikesan dan kebiasaannya terjadi kepada remaja perempuan berumur antara 10 hingga 15 tahun.

Penyakit ini juga boleh berlaku kepada golongan dewasa dan kebiasaannya berpunca daripada penyakit sama yang dihadapi sewaktu kanak-kanak dan gagal dikesan di peringkat awal.

Keadaan ini akan menjadi lebih buruk apabila pesakit meningkat dewasa dan mula mengalami proses penuaan.

Kaedah rawatan penyakit ini pula dibahagikan menurut darjah kebengkokan tulang belakang pesakit.

Untuk bengkok antara 10 hingga 20 darjah cara rawatannya adalah melalui senaman rehabilitasi yang bersesuaian.

Ia akan diajar oleh jurupulih yang terlatih dalam bidang terapi skoliosis.

Senaman yang diajar bertujuan untuk menguatkan otot-otot belakang tubuh pesakit, agar dapat membantu mengembalikan bentuk tulang belakang yang normal.

Salah satu kaedah senaman yang popular untuk terapi skoliosis adalah kaedah senaman Schroth, yang dipercayai mampu merawat pesakit skoliosis yang dikesan awal.

Untuk 20 hingga 45 darjah kebengkokan pula, pesakit akan diminta untuk memakai pendakap badan yang dibuat khusus.

Pendakap 20 jam sehari

Pendakap atau brace ini kebiasaannya diperbuat dari plastik, dan perlu dipakai lebih dari 20 jam setiap hari.

Peranti ini akan mendakap bahagian tubuh pesakit, dan memberi daya yang khusus untuk menolak tulang belakang kepada posisi normal.

Pendakap seperti ini hanya dibenarkan untuk dibuka ketika mandi, dan ketika sesi senaman sahaja.

Jika dihasilkan dengan ukuran yang jitu, dan dipakai menurut arahan yang diberikan oleh pakar ortotis terlatih, pendakap terbukti berkesan menghalang pertambahan sudut lengkungan skoliosis tubuh pesakit.

Kos pembuatan pendakap khas ini bermula dari harga RM2,000 dan ke atas.

Satu-satunya rawatan untuk pesakit skoliosis yang mencecah 45 darjah dan ke atas adalah melalui rawatan pembedahan.

Besi panjang akan dimasukkan ke dalam tubuh pesakit bagi membetulkan kembali struktur tulang belakang yang bengkok.

Pembedahan ini dilakukan oleh doktor pakar terlatih dalam bidang rawatan skoliosis.

Dan mereka kebiasaannya akan mengambil masa dua hingga tiga jam untuk keseluruhan proses pembedahan.

Pesakit akan dibenarkan pulang ke rumah selepas dua hari, jika tiada komplikasi pembedahan.

Kos pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam badan pesakit ini bermula daripada RM30,000 dan ke atas. Ia mempunyai prognosis yang baik.

Kesedaran masyarakat mengenai penyakit skoliosis ini masih rendah, sehingga ramai yang beranggapan penyakit ini tidak mempunyai rawatan.

Malah lebih menyedihkan, ada yang menyifatkan penyakit ini adalah takdir Tuhan, dan membiarkan anak mereka membesar tanpa rawatan.

Kesannya, majoriti anak-anak yang membesar dengan keadaan ini akan hilang keyakinan diri dan kurang kualiti hidup, kerana bengkokan tulang belakang yang berterusan dan ekstrem akan menekan organ dalaman berhampiran.

Keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan lain melibatkan jantung dan paru-paru.

Pesakit juga akan mengalami kesakitan kronik dan kecacatan fizikal yang berkekalan.

Biarlah Quasimodo sahaja yang kekal dengan skoliosisnya dalam fiksyen romantik Victor Hugo yang sudah pun berusia hampir dua abad itu, dan bukannya kekal sebagai persepsi kita untuk menerima sahaja keadaan kanak-kanak skoliosis yang sebenarnya mampu untuk diubah bagi memenuhi potensi diri.

Pengesanan awal, dan rehabilitasi fizikal menggunakan pendakap yang sesuai, adalah kunci kepada kehidupan mereka yang lebih sempurna seperti kanak-kanak lain.


NOOR ASLIZA AHMAD (atas) merupakan seorang prostetis dan ortotis klinikal terlatih dari Universiti Malaya dan membuat pengkhususan dalam penyakit skoliosis. Beliau kini bertugas di BioApps Sdn Bhd dan boleh dihubungi di [email protected].

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS