Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SKMM: Agensi, individu boleh ambil tindakan sivil pada akaun parodi

Pihak yang terkesan dengan akaun parodi atau palsu boleh mengambil tindakan undang-undang sivil, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Katanya itu adalah hak masing-masing dan negara juga mempunyai undang-undang lain yang boleh digunakan bagi menangani mereka yang menyalahgunakan teknologi untuk kepentingan tertentu.

“Akaun parodi bukan sahaja masalah di Malaysia, akaun parodi ini memang berlaku berleluasa baik dalam dan luar negara. Semua adalah sama.

"Akaun parodi ini merupakan trend baharu dalam menyampaikan berita palsu, mengejek atau mencerca di media yang menggunakan nama/jenama atau logo yang hampir serupa dengan badan atau pertubuhan yang dikenali ramai atau orang kenamaan.

“Akaun parodi ini selalunya dinaikkan melalui platform global iaitu Twitter atau Facebook yang berpangkalan di luar negara. Jadi akta dan undang-undang negara sama ada di Malaysia atau mana-mana negara lain ada limitasinya iaitu mengikut sempadan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurut Fadhlullah akaun parodi yang berada di luar negara memang susah nak banteras.

"Tetapi untuk individu dalam negara kita cuba buat pendekatan agar kita sebagai rakyat lebih bermoral iaitu nak cakap apa-apa boleh tetapi jangan menipu. Freedom of speech but not freedom to lie," katanya.

Fadhlullah memberikan beberapa contoh akaun parodi di Malaysia seperti ‘Bermana’ yang ramai disangka merupakan Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Perlu lebih berwaspada

Baru-baru ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menjadi mangsa dengan adanya akaun Jakim@MyJAKIM yang memaparkan logonya sama kecuali ditambah dengan perkataan ‘Just Kidding’.

Akaun Twitter parodi ‘BERMANA’ @bermanadotcon itu mempunyai 24,600 pengikut dan menyampaikan berita palsu manakala akaun Twitter palsu JAKIM menyeleweng ayat al-Quran dan hadis.

Atas nama parodi ia menimbulkan masalah bagi pemilik nama sebenar iaitu Bernama dan Jakim.

“Sebagai pengikut, mereka tidak perasan dan apabila kita tengok kandungan itu dia bukan sahaja berbentuk jenaka tetapi pada masa sama mengelirukan orang ramai, ia berselindung dalam tema parodi,” katanya.

Fadhlullah berkata siasatan memerlukan sedikit masa dan SKMM berhubung dengan Twitter dan Facebook selain meminta orang ramai memahami bahawa syarikat platform global berkenaan tidak berada di Malaysia.

Justeru katanya apa-apa yang dimohon adalah berdasarkan nilai negara mereka iaitu negara barat.

Pada 5 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad meminta Jakim mengambil tindakan sewajarnya ke atas akaun palsu di Twitter yang menggunakan nama dan logo jabatan itu.

SKMM menerusi laman web rasminya pada 6 Okt telah mengemas kini status akaun Twitter @MyJAKIM yang telah digantung dan menggesa orang ramai untuk lebih berwaspada.

“SKMM ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Twitter atas kerjasama pantas yang diberikan dalam menggantung akaun Twitter JAKIM@MyJAKIM yang mewujudkan akaun palsu dengan niat untuk memuat naik hantaran bersifat menghina serta mengandungi ucapan kebencian terhadap agama.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan kewujudan akaun palsu sedemikian dan laporkannya kepada pihak berkuasa untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS