Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyelar pihak yang mengkritiknya kerana menyertai program kembara menaiki kenderaan pacuan empat roda ketika negeri itu sedang berdepan dengan lonjakan kes Covid-19.
Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa dia bukan melakukan lawatan bersuka-ria tetapi sebaliknya bagi membuat tinjauan pengurusan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu.
Menurutnya, lawatan selama tiga hari itu untuk memeriksa kesan daripada pembalakan terhadap bekalan air, kerana rizab Ulu Muda membekalkan air ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
“Sebenarnya kita ada tanggungjawab dan kita laksanakan tanggungjawab itu. Depa (mereka) kata waktu Covid-19 (melanda) apa pasal masuk hutan?
“Tapi saya bukan doktor. Ada Kementerian Kesihatan, JKN (Jabatan Kesihatan Negeri), ada agensi-agensi yang bertanggungjawab dan saya laksanakan tugas saya.
“Jangan ganggu petak orang lain. Saya ada kerja banyak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman hari ini.
Kedah mencatatkan kes harian lebih dari 100 kes secara berterusan sejak beberapa hari lalu.
Kebanyakannya berpunca daripada kluster Tembok yang dikesan di penjara Alor Setar.
Kluster tersebut dikenal pasti apabila seorang pegawai mati mengejut. Ia kini mempunyai 1,047 kes, yang kebanyakannya melibatkan tahanan penjara.
Mohammad Sanusi berkata, berdasarkan kunjungannya ke Ulu Muda, dia mendapati bahawa kawasan zon penampan (buffer zone) lindungan yang menjadi sempadan antara zon pembalakan dan sumber air perlu diperluas untuk menghentikan pemendapan sungai.
Jelasnya, ini untuk memastikan air yang dipam di kawasan itu oleh loji pemprosesan air tidak terjejas.
“Peningkatan kekeruhan atau dipanggil CPU akan menyebabkan peningkatan kos rawatan air di pihak operator khususnya Sada (Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd) di Kedah, peningkatan penggunaan bahan kimia dan proses rawatan.
“Ada ketika CTU meningkat lebih dari 1000 proses rawatan tak boleh dilakukan, pengepaman intake di sungai-sungai tidak dapat dibuat. Maka akan berlaku masalah bekalan air.
“Bukan air tak ada tapi kekeruhan tinggi. Sebahagian kekeruhan disebabkan kerja-kerja tanah dan pembalakan,” katanya.
Mohammad Sanusi berkata, aktiviti pembalakan tidak boleh dilakukan berhampiran kawasan aliran air yang dipanggil buffer zone kerana ia bergantung kepada keluasan sungai.
Katanya, ini agar kesan tebangan tidak akan mengalir ke sungai yang boleh menyebabkan kekeruhan air sungai meningkat.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat, Muhammad Sanusi juga mendapati spesies terlindung sepertipokok tualang ditebang sesuka hati.
Pokok tualang merupakan antara pokok yang dilindungi kerana ia merupakan habitat bagi lebah.
Katanya, perbuatan itu bukan sahaja menjejaskan habitat lebah, tetapi mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang tidak dapat memungut cukai yang sewajarnya.
Dia berkata perkara sama turut diakukan pada pokok cengal.
“Walaupun dirampas, syarikat itu patut dikenakan penalti atau denda. Tapi kayu itu masih boleh mendatangkan pendapatan pada kerajaan.
“Saya mohon jabatan berkaitan untuk memastikan tiada kerugian seperti ini.
Pada masa sama, Mohamed Sanusi turut menggesa supaya Jabatan Perhutanan mencari jalan yang sesuai bagi mengatasi masalah tersebut supaya kayu-kayu yang dirampas dapat dijual dengan melalui saluran yang sewajarnya.
