Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kalau nak merotan, jangan ada anak bersalah dikecualikan

Ucapan Muhyiddin Yassin pada 6 Okt lalu membawa banyak kritikan serta kecaman daripada rakyat. Mereka kecewa apabila ucapan yang dinanti-nanti untuk membawa khabar gembira sebaliknya sekadar omong kosong yang meletak kesalahan kepada orang lain.

Perdana menteri - yang suka membahasakan dirinya sebagai Abah untuk cuba mendekatkan dirinya dengan rakyat - mencuba untuk dilihat sebagai seorang bapa yang prihatin, adil dan penyayang.

Namun, seorang abah sebenar perlu menunjukkan sikap prihatin terhadap semua anak-anaknya, bukan bapa yang pilih kasih.

Rakyat cukup kecewa dengan tindakan Putrajaya yang mencetuskan pembubaran DUN Sabah baru-baru ini. Perlu diingat, pilihan raya negeri (PRN) itu diadakan apabila pihak kerajaan mahu menukar kerajaan Sabah dengan dakwaan ada perpindahan Adun.

Apabila Yang di-Pertua Negeri Sabah menolak permohonan tersebut, ia kemudian membawa kepada PRN. Ia berlaku ketika negara mula bergelut dengan gelombang ketiga Covid-19.

Dengan adanya PRN Sabah berlakulah jangkitan yang lebih meluas hingga merebak ke seluruh Semenanjung Malaysia. Rakyat memang melihat semua ini berlaku akibat kerakusan nafsu politik pihak yang mahu menjatuhkan Warisan sehingga tergamak menggadaikan keselamatan rakyat.

Kemudian kita melihat rakyat biasa digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan dihukum keras - denda RM1,000 atau/dan penjara - jika tidak mematuhinya.

Pada masa sama menteri-menteri, ahli politik kerajaan serta pegawai tinggi tertentu mengabai peraturan tersebut dan mereka bebas daripada sebarang tindakan keras.

Berkempen tak ikut SOP

Antara insiden pilih kasih terawal yang disaksikan rakyat ialah kes seorang menteri gagal mematuhi kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki dan hadir di parlimen, malah ke Istana Negara.

Apa yang berlaku itu sangat mengecewakan orang ramai.

Terbaharu, menteri agama yang baru pulang dari Sabah pula menghadiri pelbagai majlis dihadiri masyarakat biasa ketika dia tidak mematuhi SOP seperti gagal memakai penutup muka serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Sekarang da dapati positif Covid-19.

Sehingga hari ini rakyat melihat tiada langsung tindakan tegas diambil ke atas mana-mana menteri menteri tersebut, manakala rakyat biasa terus ditangkap dan disaman dari semasa ke semasa.

Di Sabah ada menteri dan ahli politik kerajaan berkempen tanpa memakai pelitup muka. Ia banyak disiarkan media massa dan media sosial secara meluas.

Rakyat menegur. Misalnya Menteri Pendidikan yang juga menteri kanan kerana menghabiskan masa berminggu-minggu melawat Sabah tetapi tidak berusaha menyelesaikan masalah persekolahan yang terjejas akibat Covid-19.

Seorang abah wajib berlaku adil kepada semua anak-anaknya. Seorang abah tidak boleh memilih kasih. Kalau abah itu mahu merotan rakyat pun, berlaku adillah.

Jangan dibiarkan orang kenamaan diberikan layanan anak emas dan dipertahankan manakala rakyat marhaen terus dihukum. Rakyat sentiasa memerhati.

Rakyat dengar senyum, ketawa

Ugutan hendak merotan itu benar-benar menyinggung perasaan rakyat kerana mereka menuntut agar keadilan dilakukan ke atas semua. Kalau rakyat diminta memakai pelitup muka, menteri pun buatlah hal yang sama.

Jika rakyat pulang luar negara diwajibkan kuarantin diri sendiri dan dikenakan tindakan kalau gagal, tidak ada sebab mengapa seorang menteri boleh dibiarkan melanggar peraturan berkenaan.

Semalam, kerajaan mengumumkan rakyat akan disaman segera - on the spot - sebaik saja didapati melanggar SOP. Ia diumumkan selepas hampir dua bulan menteri yang ingkar itu masih bebas daripada pendakwaan atau hukuman.

Apakah begitu rumit hendak mendakwa seorang menteri untuk kesalahan yang biasanya cepat saja tindakan diambil jika dilakukan orang biasa?

Mesej yang dihantar oleh kerajaan sekarang ialah, jika rakyat biasa, orang miskin dan marhaen melakukan kesalahan, mudahlah untuk didakwa dan dihukum. Tetapi ia menjadi begitu susah kalau melibatkan orang kenamaan.

Muhyiddin sebagai abah bukan hanya perlu berlaku adil kepada anak-anaknya, tetapi dia juga perlu kelihatan - di mata rakyat - bersungguh untuk berlaku adil kepada semua.

Sekarang ugutan Abah untuk merotan anak hanya disambut dengan senyuman sinis - malah ketawa - oleh orang ramai, termasuk anaknya yang bergelar menteri.

Dalam keadaan si Abah tidak mendapat sokongan yang padu dalam kerajaan, ugutan merotan itu boleh dilihat tidak bermakna oleh 'anak emas' dan dia yakin akan terlepas daripada hukuman.

Nampaknya kerusi empuk untuk Abah dan menteri-menteri lebih penting berbanding kesejahteraan atau nyawa rakyat biasa.

Rakyat terus menunggu dan masih menaruh harapan untuk melihat keadilan dilaksanakan ke atas semua, bukan hanya orang biasa yang tersepit oleh Covid-19.


Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ialah pengerusi Amanah Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS