Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah memulakan kempen mencari dana untuk membekalkan peralatan kesihatan dan peralatan perlindungan diri (PPE).
Ini susulan selepas berlaku peningkatan terhadap permintaan kemudahan tersebut susulan lonjakan kes wabak Covid-19 di negeri Sabah.
Sehingga semalam, Sabah telah merekodkan lebih 5,000 kes Covid-19 dan 43 kematian. Sejak 10 Okt, kesemua kes melibatkan kematian wabak tersebut berlaku di negeri itu.
Dilaporkan semalam lebih daripada separuh katil unit rawatan rapi (ICU) yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 di hospital Sabah sudah diisi, manakala 71 peratus tempat tidur biasa telah dipenuhi.
Bercakap menerusi akaun media sosial, pakar pediatrik Dr Amar Singh HSS berkata MMA Sabah sedang mencari dana untuk membiayai PPE dan peralatan perubatan.
Orang awam yang ingin memberi bantuan boleh salurkan di Bank United Overseas (Nombor akaun : 1063057741).
Selain PPE dan peralatan perubatan, dana itu juga akan digunakan untuk bekalan perubatan dan bantuan lain berkaitan Covid-19.
Sementara itu, Ketua Pengarah kementerian kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noor Hisham Abdullah juga telah memuat naik borang permohonan buat individu yang berminat menjadi sukarelawan KKM.
Pada 12 Okt, Noor Hisham turut mengulangi permintaan supaya sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama membantu tangani Covid-19 di Sabah.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, menjelaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dalam mendepani Covid-19.
Kementerian itu juga telah meningkatkan kapasiti maksimum makmal Covid-19 kepada 54,706 ujian RT-PCR setiap hari.
“Pencapaian itu adalah hasil kesepaduan kerjasama 61 makmal di bawah KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Universiti Awam dan Swasta dan makmal swasta,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kapasiti makmal juga telah meningkat kepada 42 peratus sejak semalam.
“Di Sabah, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK), makmal di Hospital Queen Elizabeth dan makmal di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kapasiti 2,500 ujian sehari sudah beroperasi,” katanya lagi.
Jelas Adham, baki sampel dari keseluruhan Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Malaysia (TUDM).
Katanya lagi, makmal di klinik kesihatan di Tawau Kubota sedang dilengkapkan supaya dapat menjalankan ujian RT-PCR dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
