Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Togom Janang - koperal yang menundukkan 40,000 ekor buaya

ULASAN | Batu Pahat terkenal sejak dahulu disebabkan kemasyhuran penempatan di pesisir sungai.

Ini seperti tercatat dalam peta kelasi kapal Portugis kurun ke-16 sebagai “Rio Fermoso” dan penemuan Batu Aceh di pesisir Sungai Simpang Kiri - pemakaman Batu Aceh Bukit Inas yang sedang dijenamakan semula oleh Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat.

Bukan asing kisah buaya Sungai Batu Pahat di kalangan orang tempatan.

Kemunculan Togom menjadi “penyelamat” kerana kebolehannya memburu buaya tanpa senjata bukan sahaja di Peserai (bertentang dengan Bandar Penggaram), malah di seluruh negara.

Menurut Berita Harian pada 26 Julai 1983, “Raja Buaya” yang memburu tanpa senjata, Togom Janang mula menangkap buaya seawal usia 17 tahun.

Dia pernah menerima Queen's Commendation for Brave Conduct pada zaman pemerintahan British semasa menyertai polis Persekutuan Tanah Melayu.

Anak kelahiran Peserai, Batu Pahat ini terkenal sebagai penangkap buaya sehingga dicatat namanya dalam penyata rasmi Parlimen Dewan Negara pada 17 Disember 1987 apabila Senator Shaharudin Maasom membangkitkan namanya.

Shaharudin berkata Togom ketika itu telah menangkap 40,000 ekor buaya.

Keberanian Togom bukan sahaja “menumbangkan” buaya malah menumbangkan pengganas sehingga tercatat namanya dalam The London Gazette bertarikh 12 Januari 1954.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Namun,penghargaan queen terhadap Togom tidak ramai yang mengetahuinya.

Dan tidak diketahui bahawa di hujung hayatnya, sama ada dia pernah menerima penghargaan daripada Negeri Johor atau kerajaan persekutuan.

Saya agak terkesan apabila merujuk Berita Harian, 2 November 1987 bertajuk “Togom mula dikenali ramai” berbunyi:

“…Encik Togom berjaya menewaskan raja sungai itu dan beberapa ekor buaya lagi di Sungai Kesang, Muar. Namanya serta merta menjadi sebutan penduduk kampung. Kegagahannya menjadi bualan.

“Tetapi peristiwa itu berlaku 30 tahun lalu. Kini, Encik Togom, 64 tahun, uzur dan tidak lagi berdaya menghalau buaya apatah lagi membunuhnya. Beliau terlantar sakit di rumahnya di Peserai tiga kilometer dari Batu Pahat.”

Kesimpulannya, jasa Togom perlu dikenang kerajaan Johor dan bintang penghargaan sesuai perlu dikurniakan walaupun beliau telah lama meninggal dunia.

Kerajaan Johor, Yayasan Warisan Johor dan Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat perlu menyiasat dan merekodkan hasil tinggalan arwah Togom.

Waris beliau masih hidup termasuk Wahid Togom, 65 tahun yang tinggal di Peserai. Ia boleh dijadikan antara koleksi utama Muzium Batu Pahat nanti.

Sewajarnya nama Togom Janang diabadikan di mana-mana jalan di dalam Peserai, Batu Pahat bagi mengenang jasanya dan diketahui oleh generasi muda .

Alfatihah buat arwah Koperal Togom Bin Janang.


MOHD AZLAN MOHD SHARIF adalah anggota jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS