mk-logo
Berita
‘Sada beli Vellfire selepas ada untung bagi kegunaan tetamu’
Diterbitkan:  Oct 21, 2020 4:28 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempertahan tindakan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) membeli kereta jenis Toyota Vellfire bagi kegunaan membawa tetamu.

Katanya, pembelian itu dibuat kerana syarikat air itu sudah menjana keuntungan selepas bertukar pengurusan.

Memetik laporan Harakahdaily, Afnan mendakwa, era kerajaan Pakatan harapan (PH) sebelum ini Sada mengalami kerugian puluhan juta ringgit.

"Tiba-tiba lepas tukar pengurusan baru, 'board' (lembaga pengarah) yang baru, Sada mula untung. Kos operasi makin rendah. Tiada lagi ‘elaun pelik-pelik’, bawah meja. Semua atas meja,

“Jadi, isu air di Kedah ini, sikit masa lagi insya-Allah boleh selesai. Syarikat makin pulih, kos operasi makin berkurang. Duit makin jimat, untung dah mula ada.

Afnan Hamimi Taib Azamudden, Setiausaha Politik MB Kedah

“Bila dah ada untung sikit, Sada beli kenderaan. Beli Vellfire. Nak guna untuk urusan travel ke sana ke sini dan bawa tetamu," katanya seperti dilaporkan media rasmi PAS itu.

Pada 16 Okt lalu, Sada yang dimiliki oleh kerajaan negeri Kedah, tampil menjawab dakwaan yang menuduh mereka membeli Toyota Vellfire baru untuk Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor.

Sada menjelaskan bahawa Sanusi tidak terlibat dalam keputusan membeli kenderaan tersebut.

Sementara itu, Afnan berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memaklumkan tiada apa-apa kesalahan dalam proses membeli kenderaan berkenaan

"Vellfire ini kereta Sada bukan kereta MB... MB memang pakai Vellfire sejak sebelum jadi MB lagi. Anak dia ramai. Adik beradik pun ramai. Padan (Sesuai) la dia pakai kereta besar itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaiatan, Sanusi dilaporkan akan memfailkan saman fitnah ke atas empat pemimpin pembangkang yang mendakwa pembelian Toyota Vellfire berkenaan adalah bagi kegunaannya.

Dia menamakan antara pemimpin berkenaan sebagai ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar; Adun Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh dan dua individu lain.

“Pihak terbabit sepatutnya meminta penjelasan terlebih dahulu, saya sudah melihat tulisan dan siaran langsung media sosial mereka dan peguam saya akan memfailkan kes mahkamah minggu hadapan.

"Saya difahamkan pembelian kenderaan terbabit dilakukan bagi kegunaan bersama ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan Sada," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Sanusi yang juga pengerusi Sada berkata, kenderaan yang baru dibeli itu kini berada di ibu pejabat Sada di Alor Setar.

"Saya dituduh mengambil Toyota Vellfire ini di tol pada jam 2.30 pagi sedangkan saya tidak pernah melihat dan menaikinya sehingga kini.

"Saya hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320 yang dibeli bekas menteri besar, Mukhriz Mahathir sebelum ini," katanya lagi.

Kenderaan mewah berkenaan dikatakan dibeli pada harga RM345,000 dan memiliki spesifikasi tertinggi.

Lihat Komen
ADS