Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hati-hati 'fatwa' dari ilham, kata mufti Pulau Pinang

Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati menerima 'fatwa' yang dikeluarkan individu tertentu yang bersandar kepada ilham diterimanya.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pendapat sebegitu perlu diawasi kerana mungkin tersasar daripada kehendak dan syariat Islam.

"Nabi Muhammad SAW hanya meninggalkan dua perkara kepada umatnya untuk dijadikan panduan iaitu al-Quran dan sunnah.

"Selain daripada dua sumber itu, ia tidak boleh dijadikan panduan umum,” katanya kepada Malaysiakini.

Wan Salim ditanya mengenai isu tular di media sosial membabitkan seorang wanita PAS yang dikaitkan dengan ajaran diragui, dan gambar surat didakwa dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Bagaimanapun kesahihan surat tersebut tidak dapat dipastikan setakat ini.

Selain itu Jabatan Mufti Pulau Pinang turut mengeluarkan kenyataan menolak ajaran dibawa wanita yang didakwa menjadi salah seorang calon PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Surat berkenaan - bertarikh 20 Ogos 2019 - antara lain mengulas kaedah pengajaran dan pengajian wanita berkenaan dan dilarang daripada disebarkan kepada masyarakat.

Calon atas kapasiti AJK Muslimat 

Keputusan itu dibuat susulan ajaran bekas calon PRU14 itu didapati menyalahi kaedah perolehan dan penyampaian ilmu yang sebenar dan boleh membawa kesesatan.

Kata Wan Salim wanita terbabit mendakwa membawa ajaran berkenaan selepas ilham namun pihak berkuasa agama Pulau Pinang tidak mengiktiraf ilham sebagai satu sumber hukum.

Menurutnya larangan berkenaan dikuatkuasakan ke atas seluruh bentuk penerbitan dan sebarang pandangan diterbitkan individu berkenaan.

"Selagi boleh cegah, kita cegah,” katanya.

Tambah Wan Salim jika ada keperluan dan situasi tertentu pihaknya mungkin mengambil tindakan mahkamah ke atas individu berkenaan.

Sementara itu, PAS Pahang dalam satu kenyataan mengesahkan semua ajaran yang disebarkan bekas pemimpin PAS itu bukan daripada silibus program diketengahkan parti.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar (gambar), berkata parti itu mempunyai silibus sendiri yang disusun Dewan Ulama dan Lajnah Tarbiah PAS.

“PAS tidak pernah mengiktiraf pendekatan ajaran individu terbabit sebagai modul sistem tarbiah.

"Dia juga tidak pernah membawa pendekatan ajarannya dalam organisasi PAS.

“Selama ni dia bergerak menyebarkan pendekatan ajarannya secara individu, bukan melalui jawatannya dalam PAS dan juga bukan sebagai sebahagian daripada program parti,” katanya.

Menurut Rosli, wanita terbabit dipilih sebagai calon PRU atas kapasitinya sebagai ahli dan AJK Muslimat PAS Kuantan.

“Ketika itu isu ajarannya belum tercetus. Dia juga telah meletakkan semua jawatannya dalam PAS pada awal 2019,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi bekas calon PRU14 itu bagi mengulas isu berkenaan.

Lihat Komen
ADS