Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC kesal arahan kerja dari rumah cetuskan kekeliruan
Diterbitkan:  Oct 22, 2020 12:22 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan kesal dengan 'diskriminasi’ dan kekeliruan yang dicetuskan oleh kerajaan dalam melaksanakan arahan bekerja dari rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Setiausahanya, Mohd Faisal Husin berkata, arahan berkenan mempunyai kelemahan cukup ketara dengan pihak berkepentingan seperti kumpulan majikan dan wakil pekerja tidak dirujuk sebelum keputusan melaksanakannya dibuat.

"Walaupun kita memahami rasional peraturan ‘bekerja dari rumah’ dalam keadaan seperti hari ini, namun apa yang tidak dapat diterima adalah diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan.

"Kesan dasar ini seolah-olah nyawa dan kesihatan para pengurus dan penyelia lebih penting daripada kakitangan lain," kata Mohd Faisal.

"Jika ini bertujuan untuk mengurangkan kemungkinan penularan Covid-19, seharusnya tidak ada bentuk diskriminasi seperti ini,” katanya.

Merujuk arahan kerajaan itu sebagai kes dwi-standard, Mohd Faisal berkata, pemilik dan pengusaha perniagaan seharusnya diberi budi bicara bagi menentukan pekerja yang paling sesuai untuk bekerja di pejabat atau dari rumah.

"Mereka tahu keadaan di lapangan lebih baik daripada kerajaan.

"Jika tujuan yang dimaksudkan adalah untuk mengurangkan jumlah pekerja di tempat kerja, serahkan kepada majikan untuk memutuskan kakitangan mana yang perlu bekerja di pejabat atau bekerja dari rumah, sama ada mereka pengurus atau bukan,” katanya.

Mulai hari ini, kerajaan akan menguatkuasakan peraturan bekerja dari rumah untuk semua pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta di bahagian pengurusan dan penyeliaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kawasan yang terbabit itu adalah di Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata arahan bekerja dari rumah itu dijangka membabitkan 800,000 pekerja di sektor swasta dan 200,000 pekerja perkhidmatan awam.

Dalam kenyataan susulan semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Azmin Ali berkata, bahawa maksimum 10 peratus pekerja pengurusan dan penyeliaan akan dibenarkan bekerja di pejabat.

Ini, katanya, adalah untuk mereka yang tugasnya meliputi perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT. Mereka bagaimanapun hanya dibenarkan berada di pejabat selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.

Mengulas perkembangan itu, Mohd Faisal berkata, wakil pekerja tidak senang dengan kekeliruan yang dicetuskan oleh kerajaan.

"Arahan supaya kakitangan pengurusan dan penyeliaan mesti bekerja dari rumah yang kemudiannya dipinda menjadi hanya 10 peratus dari mereka yang perlu berbuiat demikian adalah samar-samar dan sukar untuk dipatuhi.

“Sudah tiba masanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menteri-menteri yang terlibat supaya mengeluarkan arahan yang seragam. Mereka mesti bersatu merangka satu SOP tanpa perlu meminda atau menariknya balik kemudian.

"Dari apa yang diumumkan, arahan kerja dari rumah di zon PKPB kurang jelas dan oleh itu telah menimbulkan kekeliruan di kalangan pekerja termasuk pekerja bank. Pihak pengurusan juga keliru tentang bagaimana untuk melaksanakan arahan kerajaan berkenaan.

"Arahan MKN baru-baru ini sentiasa berubah-ubah sehingga ramai yang tidak jelas dengan tujuan sebenar kerajaan," katanya.

Mohd Faisal berkata, sektor industri dan perbankan dianggap sebagai perkhidmatan penting semasa PKPB dan majikan masing-masing mesti mempunyai protokol yang jelas untuk diikuti, bukan peraturan yang tidak jelas.

"Pindaan terbaru ujian calitan ke atas pekerja di zon merah adalah salah satu contohnya kekeliruan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan,” katanya.

Semalam Ismail Sabri berkata, ujian calitan hanya wajib ke atas warga asing yang bekerja di sektor pembinaan dan kawalan keselamatan.

Katanya, bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani ujian calitan tetapi ini adalah secara sukarela.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS