Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enam dalil menteri sabotaj kempen lawan Covid-19 - Lim
Diterbitkan:  Oct 23, 2020 10:08 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Veteran DAP Lim Kit Siang, menggesa supaya mesyuarat khas kabinet diadakan bagi membangkit dan membincangkan tindakan sabotaj oleh para menteri dalam kempen membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sambil memberikan enam contoh sabotaj itu, katanya, mesyuarat khas kabinet sepatutnya melancarkan penglibatan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” jika mahu menang melawan wabak Covid-19 ini.

“Ini bagi memastikan peningkatan harian kes ini tidak mencapai empat angka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Lim mempersoalkan layanan berbeza dalam kes pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Khairuddin Aman Razali, yang diputuskan tidak memerlukan tindakan lanjut oleh Pejabat Pendakwa Raya.

Turut menjadi fokus Lim adalah ketiadaan menteri kesihatan di Sabah untuk memimpin usaha melawan Covid-19.

“Pencetusan gelombang ketiga Covid-19 dengan cubaan gagal untuk merampas kerajaan negeri Sabah yang telah menyebabkan berlakunya PRN Sabah.

“Sabah ditinggalkan untuk membela nasibnya bersendirian sedangkan negeri tersebut merupakan pusat penularan utama gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Lim turut menyentuh tenang apa yang didakwanya sebagai diskriminasi terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan, yang dikecualikan daripada mesyuarat penting Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19.

“(Ini termasuk) keengganan kerajaan persekutuan untuk berkongsi data terperinci berkenaan kes Covid-19 dengan Selangor Task Force for Covid-19 (STFC),” katanya.

Selain itu, Lim turut menyenaraikan arahan yang mengelirukan, separa siap, dan kucar kacir yang diumumkan semasa negara berhadapan dengan wabak Covid-19, seperti arahan berkerja dari rumah sebagai satu bentuk sabotaj.

Katanya, arahan berkenaan dibuat tanpa proses libat urus dengan pemegang taruh seperti kumpulan majikan dan wakil-wakil pekerja.

Lihat Komen
ADS