Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azhar kena kecam kerana tolak sidang parlimen dalam talian
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 10:19 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini dihujani kecaman di media sosial selepas menegaskan persidangan Dewan Rakyat tidak boleh dilakukan secara dalam talian.

Azhar menjelaskan, walaupun terdapat cadangan agar Malaysia mencontohi Australia - yang membenarkan sesetengah ahli parlimen mereka bersidang melalui sidang video - ia tidak boleh dilaksanakan di negara ini.

Jelas Azhar, di Australia, ahli parlimen yang tidak hadir tidak dikira sebagai sebahagian daripada korum, tidak boleh mencelah, memerlukan notis 15 minit lebih awal dan tidak boleh mengundi.

“Sebab itulah saya katakan skema undang-undang ketika ini memerlukan (persidangan Dewan Rakyat) dijalankan secara bersemuka,” katanya lapor New Straits Times (NST) semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, mengakui untuk membolehkan sidang secara dalam talian dibuat di negara ini peraturan mesyuarat perlu dipinda.

Penjelasan Azhar itu diterbitkan oleh media seperti The Star, Berita Harian dan NST sejak minggu yang lalu dan diciap oleh stesen radio BFM semalam, tanpa maklumat terperinci.

Ia menyebabkan beberapa pengguna Twitter menyuarakan kekecewaan mereka terhadap Azhar.

Pengguna Twitter @gizmoduck13 misalnya berkata jika anak-anaknya di sekolah dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, maka anggota parlimen juga sepatutnya mampu berbuat demikian.

Warganet lain seperti @mr_skadoosh pula menyarankan Azhar sekurang-kurangnya mencuba, sementara @madnoh menegaskan beberapa sidang video terbukti dapat digunakan untuk kumpulan besar.

Seorang pengguna Twitter lain, @asymp_Meskipunts, mencadangkan Azhar berunding pihak yang berjaya melakukan sidang Parlimen Digital.

Parlimen Digital ialah inisiatif yang menghimpunkan 222 belia bagi membahas, membincang dan meluluskan rang undang-undang atau dasar melalui satu platform khas.

Inisiatif itu dipuji oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Ia merupakan inisiatif susulan keputusan kerajaan yang memutuskan untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat selama sehari pada Mei.

Sidang Dewan Rakyat sepatutnya berlangsung semula pada 2 Nov ini sebelum diikuti pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov. Pemerhati berpendapat kerajaan Muhyiddin Yassin berdepan cabaran besar untuk mendapatkan sokongan mencukupi bagi meluluskan belanjawan berkenaan.

Ia dijadual dibahaskan oleh anggota parlimen sebelum diundi sama ada diterima atau ditolak pada 17 Nov.

Bagaimanapun, sidang Dewan Rakyat mungkin tidak akan berlaku sekiranya Putrajaya melaksanakan perintah darurat. 

Lihat Komen
ADS