Malaysiakini
BERITA

Agong akan bincang cadangan PM dengan Raja-raja Melayu

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Okt 2020, 7:14 pagi

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan berbincang dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Perkara itu dinyatakan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran dalam berdepan wabak Covid-19, serta kegelisahan rakyat ekoran perkembangan semasa.

"Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, rakyat turut dinasihati agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menggugat ketenteraman negara.

Semalam, Muhyiddin mengadap Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang dipercayai berkenaan pengisytiharan "darurat".

Ia selepas Kabinet dalam mesyuarat khas yang dipengerusikannya dilaporkan setuju dengan pelaksanaan "darurat" atas dasar menangani penularan Covid-19.

Langkah itu diambil susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin berdepan desakan daripada luar dan dalam.

Kenyataan Istana Negara itu bagaimanapun tidak menjelaskan apakah cadangan yang dibawa Muhyiddin.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil mengesahkan bahawa Muhyiddin memohon untuk mengadap Sultan Abdullah dan menurutnya ia berlangsung selama satu setengah jam.

"Dalam sesi selama lebih kurang satu setengah jam ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh mesyuarat khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan