Malaysiakini
BERITA

Parlimen masih boleh bersidang walaupun darurat - Bekas AG

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Okt 2020, 9:19 pagi

Parlimen boleh bersidang dan berfungsi seperti biasa walaupun darurat diisytiharkan, kata bekas peguam negara Tommy Thomas.

Dalam satu artikel, Thomas berkata tindakan kerajaan adalah tidak berperlembgaan sekiranya menggantung parlimen dan melaksanakan Belanjawan 2021 dengan keputusan eksekutif.

Memetik Perkara 150 (3), Perkara 150 (5) dan Perkara 150 (9) Perlembagaan Persekutuan, Thomas berpendapat parlimen boleh berfungsi seperti biasa jika ia tidak dibubarkan.

"Sudah terang dan jelas bahawa mengisytiharkan darurat tidak akan membawa hasil yang diharapkan. Parlimen harus melaksanakan tugasnya.

"Oleh itu, Dewan Rakyat harus bersidang seperti biasa bagi sesi pembentangan belanjawan pada awal November, seperti yang dijadualkan," katanya.

Semalam kabinet dilapor bersetuju dengan cadangan untuk mengisytiharkan darurat bagi memerangi wabak Covid-19.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilapor mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan, namun butiran mengenai pertemuan itu masih belum jelas.

Kerajaan setakat ini belum mengesahkan atau menafikan spekulasi bahawa darurat akan diisytiharkan yang memerlukan parlimen digantung.

Untuk rekod, undian Belanjawan 2021 dijadualkan pada 17 November.

Sementara itu, Thomas menggesa Muhyiddin Yassin melakukan rundingan dengan lawannya bagi memastikan Belanjawan 2021 dapat diluluskan.

"Masalah ini dibuat oleh 222 anggota Parlimen. Oleh itu, penyelesaiannya terletak di tangan mereka.

"Ini bererti, perdana menteri dan lawan politiknya perlu memperuntukkan masa minggu depan untuk tawar menawar dan rundingan untuk sebuah kerajaan perpaduan, mereka harus melaksanakannya dengan semangat muafakat dan kompromi.

"Rakyat Malaysia, yang seharusnya anda wakili, benar-benar jijik dengan keadaan semasa. Darurat adalah perkara terakhir yang kita kehendaki hanya disebabkan oleh cita-cita dan kerakusan ahli politik," katanya. Artikel penuh Thomas boleh di baca di sini.

Semalam pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata parlimen masih boleh bersidang dalam keadaan darurat sekiranya tidak dibubarkan, merujuk kepada Perkara 150 (4) perlembagaan.

"Darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa, sama semasa parlimen masih ada, sedang bersidang atau pun tidak, atau juga semasa parlimen bubar. Syarat yang diperlukan ialah, telah dibuktikan elemen yang dinyatakan, iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.

"Ketika proklamasi darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan negeri dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan