Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Inisiatif sendiri penduduk Desa Puteri kekang penularan Covid-19

Pada 7 Oktober lalu, seorang penduduk di taman perumahan Desa Puteri, Bandar Tasik Puteri di Rawang, Selangor membuat ujian swab kerana disyaki dijangkiti wabak Covid-19.

Perkara itu menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat dan pastinya mengundang masalah lebih besar jika berlaku penularan di kawasan itu.

Tidak mahu mengambil risiko, para penduduk sepakat menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing seawal 7 Oktober, malah menubuhkan pasukan petugas dengan bilik gerakan khas bagi memudahkan urusan penduduk.

Penduduk yang menjalani ujian swab itu disahkan positif dua hari kemudian iaitu pada 9 Oktober.

Setakat 24 Oktober, seramai 31 daripada anggaran 2,000 penduduk disahkan positif, menurut pengerusi persatuan penduduk Desa Puteri, Joseph Ninting Janting kepada Malaysiakini semalam.

Menurutnya, angka itu pasti lebih tinggi jika tidak kerana usaha penduduk setempat untuk sama-sama menjalani kuarantin walaupun sebelum kes positif disahkan.

“Penduduk sangat memberi kerjasama yang baik - majoriti tak akan keluar rumah seandainya tak ada hal yang perlu," kata Joseph yang memaklumkan penduduk menerima sumbangan seperti makanan daripada NGO, penduduk sekitar dan juga Adun Kuang Salehuddin Amiruddin.

“Ini memberi kekuatan kepada kami bertahan sehingga dua minggu untuk betul-betul duduk di rumah dan keluar bila perlu sahaja, misalnya untuk kerja,” katanya lagi.

Katanya lagi, dia kalau boleh mahu pihak berkuasa mengenakan satu bentuk kawalan pergerakan agar virus berkenaan tidak menular ke kawasan lain. 

Walaupun ia tidak berlaku, usaha penduduk sendiri sekurang-kurangnya dapat meminimumkan risiko jangkitan, katanya lagi.

Mengulas mengenai pasukan petugas yang ditubuhkan, Joseph berkata ia berperanan mengingatkan penduduk untuk tidak keluar, menyalurkan maklumat terkini berhubung kes di kawasan itu serta mengagihkan sumbangan ke rumah yang diarahkan menjalani kuarantin wajib.

Dianggarkan terdapat 477 buah rumah di kawasan ini dan menurut Joseph, setakat ini kontak rapat kes telah menjalani ujian saringan.

Salah seorang penduduk, Nuruddin Razali menyuarakan kekecewaan apabila mendakwa pihak berwajib lambat bertindak walaupun kawasan itu mencatatkan kes positif yang agak tinggi bagi kawasan perumahan, terutama pada tempoh awal kes pertama disahkan.

Menurutnya, hanya beberapa hari lalu, barulah pihak berkuasa ke sana bagi tujuan pengumpulan data dan semburan nyahkuman.

'Bacaan Yaasin bersama pesakit'

Selain usaha pasukan petugas, sejumlah penduduk turut membuat telesidang menerusi aplikasi Google Meet bagi membincangkan perkembangan kes jangkitan, seperti yang dimaklumkan pengerusi Surau Al-Hidayah di taman perumahan itu, Suryadi Mohamed.

Memandangkan surau juga ditutup susulan penguatkuasaan PKPB, Suryadi berkata mereka turut memanfaatkan aplikasi itu untuk sesi bacaan surah Uasin pada setiap malam.

Lebih menarik, sesi itu turut disertai penduduk yang sedang menjalani rawatan Covid-19 di hospital.

“Tiap-tiap malam memang baca Yasin termasuk mereka yang berada di hospital pun ikut serta. Apa saja masalah mereka, kita cuba beri motivasi.

“Ada yang mengadu minta tolong tengokkan keluarga (di rumah), semua kita jaga kebajikan dan bekalan makanan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam pada itu, Joseph membangkitkan stigma yang timbul terhadap taman perumahan berkenaan dengan mendakwa ada yang mengelak untuk membeli di kedai di situ, selain ada kedai di kawasan sekitar yang tidak membenarkan penduduk taman memasuki premis mereka.

Justeru, dia berharap agar penduduk dapat menjalani ujian swab bagi memastikan mereka terhindar daripada jangkitan, seterusnya memadamkan stigma tersebut.

Exco Kesihatan Awam Selangor Dr Siti Mariah Mahmud memberitahu Malaysiakini pihak kerajaan negeri akan menjalankan ujian saringan bersasar kepada penduduk Taman Desa Puteri esok.

Menurut Mariah, saringan akan dikendalikan Klinik Selcare bawah kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Adun Seri Serdang itu turut memuji usaha penduduk Desa Puteri yang proaktif dalam membuat inisiatif sendiri bagi mengekang penularan Covid-19.

“Saya ada ke bilik gerakan yang ditubuhkan penduduk. Mereka buat kerja yang menakjubkan, mencatat semua kes berkaitan, alamat, dan hantar makanan kepada keluarga yang terjejas,” katanya yang melawat kawasan perumahan itu kelmarin. 

Lihat Komen
ADS