Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memberi perkenan agar semua kuliah agama di masjid seluruh negeri ditangguhkan ekoran peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.
Perkara itu dimaklumkan Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, dalam kenyataan kepada media hari ini.
Katanya keputusan itu dibuat Sultan Muhammad V sebagai ketua agama Islam Kelantan seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
"Memandangkan berlaku peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan sejak akhir-akhir ini, maka Maik mengarahkan semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha dan kuliah-kuliah lain termasuk kelas al-Quran ditangguhkan serta merta bermula 25 Oktober sehingga 27 Oktober 2020," katanya.
Sebagai rekod, sehingga semalam terdapat tujuh kes Covid-19 termasuk seorang pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Kelantan.
Setakat ini, Kelantan mencatatkan 178 kes positif dengan angka kematian seramai tiga orang.
Sementara itu Tengku Rizam berkata, bagi solat fardu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard dikeluarkan oleh pihak Maik sebelum ini.
"Saya mendoakan agar wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh Allah SWT jua," katanya.
