Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semua lapan daerah di Selangor catat kes positif Covid-19
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 12:38 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Kesemua lapan daerah di Selangor mencatatkan kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari lalu.

Sabak Bernam merupakan daerah terakhir di Selangor yang ditakrif sebagai zon hijau sebelum berubah ke zon kuning semalam susulan satu kes positif Covid-19.

Selain Kuala Lumpur dan Putrajaya, ini bermaksud setiap daerah di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di ketiga-tiga negeri dan wilayah tersebut merekodkan kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari .

Namun, penelitian data pada peringkat mukim mendapati terdapat beberapa kawasan di Selangor yang tidak terjejas dengan wabak Covid-19.

Hanya lapan daripada 56 mukim di Selangor ditakrif sebagai zon merah manakala 23 mukim lagi diletakkan dalam zon hijau.

Daerah dan mukim dikelaskan mengikut warna, berdasarkan jumlah kes yang dicatat dalam tempoh 14 hari.

Zon merah menunjukkan mukim dengan lebih daripada 40 kes aktif dalam 14 hari lalu, zon kuning adalah kawasan dengan satu hingga 40 kes sementara zon hijau tidak mempunyai kes yang direkodkan.

Kes positif Covid 19 di Selangor kebanyakannya tertumpu di daerah Petaling dan Klang, di mana semua mukim di dua daerah terbabit ditakrif sebagai zon merah.

Bagaimanapun, daerah Sepang yang merupakan zon merah, tidak mencatatkan zon merah di mukimnya.

Namun, dua daripada tiga mukimnya hampir menjadi zon merah dengan Dengkil mencatatkan 39 kes dan Labu 37 kes.

Daerah Dengkil merangkumi bandar Cyberjaya, yang telah mencatat beberapa kes serentak yang tidak berkaitan, manakala kes di Labu dipercayai berkaitan kluster Kaya yang melibatkan pekerja kargo dan pos di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Daerah lain kebanyakannya ditakrif sebagai zon kuning atau hijau dengan Hulu Langat memiliki satu mukim merah (Kajang, dengan 148 kes) dan Kuala Langat (Tanjung 12 (1) dengan 80 kes).

Sementara di Kuala Lumpur, hanya satu daripada empat daerah ditakrif sebagai zon merah, iaitu daerah Titiwangsa dengan 57 kes dalam 14 hari lalu.

Yang lain adalah zon kuning, dengan Cheras hampir menjadi zon merah dengan 37 kes, semalam.

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mengeluarkan data mukin seperti di negeri lain. Oleh itu, jumlah kes yang direkodkan dalam dua minggu lalu di setiap mukim di Kuala Lumpur tidak diketahui.

Titiwangsa terdiri daripada tiga mukim iaitu Titiwangsa, Wangsa Maju dan Setiawangsa, manakala Kepong terdiri daripada mukim Kepong, Segambut dan Batu.

Sementara mukim Lembah Pantai terdiri daripada Lembah Pantai, Bukit Bintang dan Seputeh. Mukim Cheras pula adalah Cheras dan Bandar Tun Razak.

Walaupun jumlah kes yang dicatat dalam 14 hari lalu di mukim ini tidak dikeluarkan, Kementerian Kesihatan minggu lalu mula merekodkan jumlah kes baru setiap hari kawasan berkenaan.

Ini adalah kali pertama ia mengeluarkan data mukim untuk Kuala Lumpur sejak wabak Covid-19 melanda.

Berdasarkan carta ini, mukim Titiwangsa merupakan satu-satunya mukim yang ditakrif sebagai zon merah manakala Wangsa Maju dan Batu belum ada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, yang akan berakhir esok iaitu Selasa, mungkin akan dilanjutkan berikutan peningkatan kes COvid-19.

Selangor mencatatkan 88 kes baru semalam, Kuala Lumpur  merekodkan 10 kes sementara Putrajaya mencatatkan satu kes.

Di bawah PKPB, semua sekolah ditutup, perjalanan rentas daerah dan negeri hanya dibenarkan untuk pekerja dan untuk hal-hal kecemasan.

Bagaimanapun, majikan digalakkan membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

Sebilangan besar perniagaan masih beroperasi seperti biasa, sementara beberapa aktiviti rekreasi tidak dibenarkan, termasuk sukan dan renang.

Pekerja asing dan buruh binaan di zon merah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

PKPB di Sabah akan dilanjutkan untuk 14 hari lagi, iaitu sehingga 9 November ini.

Lihat Komen
ADS