Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS akur titah Agong untuk henti politiking
Diterbitkan:  Oct 27, 2020 10:52 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur akan titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua ahli politik menghentikan segala politiking yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan.

Kata gabungan itu, ia selari dengan pendirian mereka agar usaha difokuskan kepada usaha menangani penularan Covid-19.

“GPS akur akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya semua ahli politik menghentikan segala politiking yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.

“Ini amat selari dengan prinsip dan pendirian GPS selama ini yang konsisten mahu supaya semua pihak menghentikan politiking dan fokus kepada usaha menangani penularan Covid-19 serta pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan,” kata GPS dalam satu kenyataan.

Selain itu GPS turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk pengisytiharan darurat.

Kata GPS lagi, ia berharap semua pihak akur akan titah dan nasihat baginda, selain mengakui bahawa kerajaan telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“GPS amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 daripada terus merebak.

“Rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli-ahi politik dalam apa jua keadaan terutama dalam berdepan cabaran penularan Covid-19 ketika ini.

“GPS menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan betapa pentingnya Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang ini, dalam menangani wabak Covid-19,” katanya lagi.

Ahad lalu Al Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini, memandangkan baginda berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.

Dalam titahnya, Seri Paduka meminta ahli-ahli politik agar menghentikan segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan kerajaan dan menegaskan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di parlimen adalah penting untuk rakyat.

Titah tersebut dikeluarkan selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap baginda bagi mengemukakan cadangan jemaah menteri untuk mengisytiharkan darurat.

Sebelum membuat keputusan berkenaan, baginda mengadakan pertemuan dengan raja-raja Melayu di Istana Negara bagi membincangkan hal berkenaan.


Lihat Komen
ADS