Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadir cadang k'jaan, pembangkang bersama rangka belanjawan
Diterbitkan:  Oct 27, 2020 4:43 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Parti-parti politik boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk usul Belanjawan 2021 dibuat secara kolektif, kata wartawan veteran A Kadir Jasin.

Menurut Kadir, ia bagi membuktikan keikhlasan sokongan mereka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong agar menghentikan politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Hendak seribu daya. Tidak hendak seribu dalih.

“[...] Bagi membuktikan keikhlasan mereka, pemimpin parti-parti yang ada ahli dalam Dewan Rakyat boleh mencadangkan kepada perdana menteri supaya penyediaan Belanjawan dilakukan secara kolektif, dibahaskan untuk pengetahuan umum dan diputuskan secara konsensus.

“Oleh sebab kesuntukan masa, mungkin perbincangan mengenai draf Belanjawan dibuat secara pre-council dan pindaan dilakukan ketika perbahasan,” katanya di Facebook hari ini.

Cadangan itu selari dengan kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang mengusulkan pertemuan “segera” antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan pembangkang, untuk menyalurkan buah fikiran dan idea.

"Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong. Untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan ini berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami,” kata Salahuddin.

Setiausaha penganjur DAP Anthony Loke juga menyatakan sedang menunggu untuk mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin mengenai Belanjawan 2021.

Kadir menyifatkan usul Belanjawan 2021 yang dijadual dibawa ke sidang Dewan Rakyat 2 November ini sebagai perkara yang paling ditakuti kerajaan - kerana boleh membawa kepada undi tidak percaya terhadap Muhyiddin - sehingga mencadangkan kepada Agong agar darurat diisytiharkan.

1. Hendak seribu daya. Tidak hendak seribu dalih. 2. Kalau parti-parti politik serius mengenai pernyataan sokongan...

Posted by A Kadir Jasin on Isnin, 26 Oktober 2020

Mengulas lanjut, Kadir berkata walaupun cadangan itu di luar kebiasaan dan mungkin bercanggah dengan peraturan, ia lebih baik berbanding usul tersebut digunakan untuk membuat undi tidak percaya sehingga tidak diluluskan.

Bagaimanapun, katanya lagi, ini tidak bermakna Muhyiddin tidak akan dicabar dalam hal-hal lain.

“Rang Undang-undang Belanjawan ini terlalu penting untuk dijadikan bahan peras ugut politik. Namun ini tidak sekali-kali bermakna kerajaan Muhyiddin akan diberikan laluan mudah atau tidak akan dicabar dalam hal-hal lain.

“Kerajaan PN akan terus dipersoalkan kesahannya dari segi kecukupan sokongan ahli Dewan sehinggalah ia membuktikannya secara telus,” katanya lagi.

Mesyuarat ketiga sidang Parlimen di Dewan Rakyat dijadual berlangsung dari 2 Nov ke 15 Dis.

Selepas dibadai spekulasi tentang peralihan sokongan ahli Parlimen - terutama dari Umno - daripada menyokong Muhyiddin, keadaan reda apabila parti itu semalam mengekalkan sokongan terhadap PN walaupun secara bersyarat.

Bagaimanapun pusingan pertama undian untuk Belanjawan 2021, dijadual berlaku pada 23 Nov, tetap menjadi perhatian kerana ia masih boleh menjadi medan ahli Parlimen membuat undi tidak percaya ke atas Muhyiddin. 

Lihat Komen
ADS