Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO galas tanggungjawab pantau pesakit Covid-19 di pulau Sabah

Aktivis Iskul Sama DiLaut Omadal (Sekolah Bajau Laut Omadal) terpaksa menggalas tanggungjawab untuk memantau sekurang-kurangnya sembilan pesakit Covid-19 di kalangan penduduk tanpa kerakyatan di Pulau Omadal.

Iskul merupakan sekolah berasaskan komuniti untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan dari komuniti Bajau Laut yang tinggal di Pulau Omadal, Semporna, Sabah. Wabak Covid-19 telah menular dalam komuniti itu dan sekolah tersebut berusaha memainkan peranan dalam mengekangnya.

Pengasas bersama Iskul, Chuah Ee Chia berkata, walaupun ujian saringan Covid-19 percuma turut ditawarkan kepada mereka yang tiada kerakyatan di sana, ramai yang takut untuk ke hospital mendapatkan rawatan.

Ujian saringan percuma ditawarkan Pejabat Kesihatan Daerah dan juga Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

"Meraka takut ke hospital. Penyelesaian ideal adalah mewujudkan pusat kuarantin di SK Omadal dengan sukarelawan perubatan yang memadai untuk memantau keadaan mereka," kata Chuah kepada Malaysiakini.

Sekolah itu telah mendapatkan dana untuk menyediakan makanan, air mineral, dan makanan tambahan Vitamin C untuk seluruh pulau, dengan jangkaan sebanyak 210 isi rumah - merangkumi warga dan juga kalangan yang tiada kerakyatan.

Mereka juga membekalkan ikan segar kepada sembilan isi rumah yang menjalani kuarantin selama dua minggu.

Chuah berkata, banyak NGO dan NGI (individu bukan kerajaan) yang memberi bantuan kewangan dan pelitup muka untuk membantu penduduk Sabah yang memerlukan.

"Kami juga menerima bantuan pengangkutan dari Semporna Heroes untuk membawa pelitup muka dan bekalan makanan. Semporna Heroes telah menghantar bantuan makanan kepada mereka yang terjejas di Sabah," katanya lagi.

Sabah merupakan negeri yang memiliki kes Covid-19 terburuk. Untuk semalam, sejumlah 927 kes baru dilaporkan. Setakat ini seramai 105 pesakit Covid-19 telah meninggal duni di negeri itu.

Usaha agar komuniti itu menjalani ujian juga merupakan perkara yang mencabar dan Iskul terpaksa menggunakan bakul makanan yang disediakan keluarga pelajar bagi menarik mereka yang tidak memiliki kerakyatan untuk menjalani ujian swab pertama.

Sejumlah 210 isi rumah komuniti tanpa kerakyatan (anggaran 1,000 orang) telah menjalani dua ujian saringan Covid-19.

Seramai 11 daripada 53 yang menjalani ujian disahkan positif ketika ujian pertama, manakala sembilan daripada 136 lagi positif ketika ujian kedua.

Dari 11 orang itu, hanya seorang yang setuju untuk dibawa ke Semporna bagi menjalani kuarantin, manakala bakinya lari dan bersembunyi di tengah-tengah komuniti. Usaha mengesan mereka agak sukar kerana penduduk tanpa kerakyatan tiada kediaman tetap dan tidak menggunakan nama rasmi.

Menurut Iskul, pada hari Ahad, guru sekolah Jefry Musa dan Mastal Arikik, serta pembantu pengajar Bilkuin dan Delah daripada komuniti tanpa kerakyatan, mendayung sampan di sekitar penempatan untuk mengesan sembilan pesakit Covid-19 yang positif.

"Mereka memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan membawa pelitup muka, vitamin C dan air mineral. Cikgu Jefry menunjukkan keputusan ujian kepada individu yang dikenal pasti, ambil suhu badan mereka, dan menunjukkan cara untuk mengambil vitamin C.

"Kita nasihati pesakit agar kuarantin di rumah bersama-sama keluarga mereka selama dua minggu," katanya.

Bagaimanapun, pelaksanaan kuarantin adalah mencabar kerana ada rumah yang hanya berkeluasan 100 kaki persegi.

Menurut Jefry, walaupun senarai nama mereka yang positif diberikan kepada komuniti itu, tetapi tiada arahan lanjut, keperluan perubatan atau gelang kuarantin yang diberikan.

"Persetujuan asal adalah untuk Iskul mengesan mereka yang positif kerana beberapa ahli kami adalah daripada komuniti tanpa kerakyatan. Memang kami ada orang dalam komuniti untuk mengesan mereka, tetapi kami kurang pengalaman dan pengetahun perubatan untuk memantau mereka yang positif.

"Kami juga tiada autoriti dan sumber tenaga untuk memantau semua orang di pulau agar mereka kekal di rumah," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Iskul is grateful for the two times Covid-19 screenings in Pulau Omadal by Imaret and PKD Semporna. During the first...

Posted by Iskul Sama DiLaut Omadal on Isnin, 26 Oktober 2020

 

Lihat Komen
ADS