Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Kelantan gesa pembangkang sokong Belanjawan 2021
Diterbitkan:  Oct 28, 2020 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Umno Kelantan menggesa semua pihak termasuk anggota parlimen pembangkang memberi sokongan terhadap pembentangan Belanjawan 2020 oleh perdana menteri pada sidang parlimen 2 Nov depan.

Pengerusinya, Ahmad Jazlan Yaakub berkata, gesaan Umno supaya agenda perdamaian nasional dilaksana segera membuktikan Umno parti yang terbuka dalam merintis dan menunjangi perpaduan untuk semua

 tanpa mengira fahaman politik.

"Ia komitmen baharu Umno lanjutan dari usaha Umno dan PAS membentuk kerjasama penyatuan ummah dibawah agenda Muafakat Nasional (MN) yang jelas menjamin kedudukan serta perpaduan umat Melayu dan Islam.

"Agenda perdamaian ini secara langsung akan berupaya menghentikan polemik dan kecelaruan politik negara dari berterusan yang sama sekali tidak menguntungkan rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata, pertikaian berterusan pemimpin politik ketika rakyat susah ekoran pandemik Cobid-19 hanya membuatkan kehidupan mereka terancam.

Katanya, kebimbangan rakyat berhubung kelangsungan hidup dikala negara dan dunia sedang dilanda pandemik harus menjadi keutamaan semua pihak.

"Agenda ini mesti dibuktikan menerusi kesepakatan bersama antara parti kerajaan dan pembangkang harus dimulakan dengan komitmen kerjasama dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

"Belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan pada sidang parlimen yang akan bermula pada minggu hadapan wajar mendapat sokongan penuh dari semua ahli parlimen.

"Ini bukan soal kejayaan atau kegagalan perdana menteri, ia soal rakyat, sekiranya belanjawan ini gagal, ia merupakan kegagalan dan kerugian buat rakyat bukannya terhadap perdana menteri," jelasnya.

Terdahulu dilaporkan Umno mencapai keputusan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) namun menggesa penambahbaikan kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PKR dan DAP. 

Ia selepas Muhyiddin Yassin gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pengisytiharan darurat, yang seterusnya menimbulkan tanda tanya terhadap sokongan Umno terhadap kerajaan PN.

Tindakan Muhyiddin memohon pengisytiharan darurat daripada Agong menerima reaksi bercanggah, dengan ada yang menyokong ia sebagai usaha memerangi Covid-19.

Sementara pihak yang tidak menyokong pengisytiharan darurat menyifatkan ia sebagai usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukan susulan spekulasi yang mengatakan presiden Bersatu itu mungkin tidak lagi memegang sokongan majoriti di parlimen dan seterusnya akan kalah dalam undian Belanjawan 2021 bulan depan.

Sementara itu, Ahmad Jazlan yang juga anggota parlimen Machang itu menegaskan, komitmen dan sokongan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang wajar diterjemahkan dengan sokongan penuh kepada perdana menteri dalam menjunjung kasih terhadap titah seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja pada sidang akan dimulakan pada 2 Nov nanti.

"Dengan sokongan ini sekali gus turut menzahirkan muafakat di antara kesemua ahli Dewan Rakyat juga turut mengutamakan rakyat dikala Malaysia memerlukan seluruh rakyat berganding bahu dengan satu matlmat dan satu tujuan menghapuskan rantaian Covid-19 serta memulihkan dan membangunkan ekonomi negara.

"Menjunjung titah seri paduka baginda selaku ketua negara yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat, maka saya berpandangan keputusan yang diambil oleh majlis tertinggi Umno adalah amat tepat dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam apa yang telah diputuskan," kata Ahmad Jazlan.

Lihat Komen
ADS