Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empat insiden berpotensi cemar air S'gor dikesan dalam seminggu

Sebanyak empat insiden yang berpotensi menyebabkan berlakunya pencemaran air dikesan berlaku di Selangor dalam tempoh seminggu lepas namun berjaya ditangani segera, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata insiden terbaharu berlaku semalam yang mana tumpahan minyak hitam dikesan dibuang ke dalam alur air di Kampung Baru Balakong, namun siasatan agensi berkaitan mendapati sisa itu bukan berpunca daripada kilang atau bengkel di sekitar lokasi berkenaan.

“Tiga hari lepas kita kesan jenis pencemaran sama dipercayai minyak berwarna hitam di Sungai Kundang, Rawang. Saya bimbang ini tindakan yang disengajakan namun saya tiada bukti.

“Saya menyeru semua pihak termasuk mereka yang cuai, tolonglah (tidak menyebabkan pencemaran air) kerana pencemaran ini boleh mengakibatkan jutaan penduduk menderita ekoran bekalan air tidak sempurna,” katanya kepada pemberita selepas majlis ringkas penyerahan jet ski dan basikal elektrik kepada polis Selangor hari ini.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri juga telah menambah bilangan pegawai dan anggota penguat kuasa baru-baru ini untuk memantau lembangan sungai di Selangor bagi mengelakkan insiden pencemaran terus berlaku.

Katanya pemantauan berterusan oleh pegawai dan anggota penguat kuasa itu juga akan dimantapkan lagi dengan penggunaan dron mulai Ahad ini.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan orang awam kira-kira 6 petang semalam mengenai pencemaran di alur air di Kampung Baru Balakong dan siasatan mendapati kejadian berpunca daripada sisa minyak enjin terpakai yang dibuang di lokasi tersebut.

Menurut kenyataan itu, aliran air berkenaan akan memasuki Sungai Balak dan seterusnya ke Sungai Langat namun LUAS telah meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ di lokasi pembuangan minyak tersebut bagi menghalang bahan cemar berkenaan mengalir ke sungai.

LUAS turut menyatakan siasatan mendapati lokasi pencemaran itu merupakan kawasan air bertakung dan pembuangan minyak berkenaan disyaki dilakukan oleh pihak ketiga.

Pada masa sama, polis Selangor turut membuka kertas siasatan berhubung insiden pencemaran berkenaan susulan laporan yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS