Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pemuda PAS Kelantan mengajak seluruh umat Islam di negara ini memboikot barangan buatan Perancis susulan kenyataan presiden negara itu menyokong Samuel Paty yang menghina Rasullullah SAW.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdullah berkata tindakan itu amat penting untuk memberi mesej bahawa umat Islam tidak akan merelakan sesiapa sahaja yang berani menghina agama Islam.

"Pemuda PAS Kelantan menyeru umat Islam sentiasa bersama mempertahankan Islam dan Rasulullah SAW. Kita tidak boleh berdiam diri dengan siri-siri penghinaan terhadap agama Islam.

"Justeru, kita mengajak seluruh Umat Islam untuk mengkritik tindakan ini dan memboikot barangan buatan Perancis. Tindakan ini amat penting untuk memberi mesej bahawa umat Islam tidak akan merelakan sesiapa sahaja yang berani menghina agama Islam," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mencetuskan kemarahan dunia Islam susulan kenyataan terbukanya mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad yang dianggap sebagai menghina Islam.

Kenyataan Macron minggu lalu dibuat sebagai respons kepada pembunuhan seorang guru, Samuel Paty, di luar sekolahnya yang terletak di pinggir bandar Paris awal bulan ini, selepas beliau menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelas semasa mengajar topik mengenai kebebasan bersuara.

Guru itu menjadi sasaran kempen kebencian dalam talian berhubung pemilihan bahan pengajaran iaitu gambar sama yang mencetuskan serangan berdarah oleh lelaki bersenjata di pejabat majalah satira Charlie Hebdo pada 2015.

Sehubungan itu, Mohd Ariff berkata pihaknya mendesak Macron menarik balik sokongannya kepada Samuel Paty.

Katanya, Macron telah mengiktiraf dan mempertahankan tindakan guru sekolah Samuel Paty yang menghina Nabi Muhammad atas dasar hak kebebasan bersuara.

"Samuel telah bertindak menayangkan beberapa lukisan menyerupai baginda Rasulullah kepada pelajar-pelajarnya di dalam bilik darjah untuk berbincang di atas dasar hak kebebasan bersuara. 

"Akibat tindakan tersebut, guru itu telah dibunuh dengan dipenggal kepalanya oleh seorang pemuda dari Chechnya yang beragama Islam.

"Dewasa ini, Islam seringkali menjadi mangsa tohmahan dan cacian. Islam sering digambarkan dari sudut yang negatif. Kesemua tindakan ini pula berselindung di sebalik atas alasan hak kebebasan bersuara," jelasnya.

Lihat Komen
ADS