Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjaja kecewa dikompaun RM1,000 berhampiran kawasan rumah

Seorang peniaga kedai makan di Jinjang Utara, Kuala Lumpur, merayu agar denda RM1,000 yang dikenakan ke atasnya di satu sekatan jalan raya berhampiran rumahnya ditarik balik.

Goh Yong Thai yang mengusahakan gerai makanan Barat percaya dia tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut peraturan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang diumum Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Mengikut penjelasan Ismail Sabri, katanya, penduduk Kuala Lumpur bebas bergerak dalam kawasan bandar raya tanpa perlukan surat kebenaran merentas sempadan.

Malah semasa dikenakan kompaun itu dia tidak keluar dari daerah kediamannya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, memberitahu Goh habis berniaga pada jam 4 petang pada 26 Okt dan pergi ke sebuah kedai di Segambut kerana mahu membeli makanan untuk dibawa pulang.

Semasa dalam perjalanan pulang, katanya, Goh ditahan di sekatan jalan raya berhampiran SJK(C) Khai Chee di Jalan Segambut. Di situ Goh diminta menunjukkan surat kebenaran oleh polis.

Disebabkan bekerja sendiri sebagai pemilik gerak yang tinggal dan berniaga di Kuala Lumpur, dia tidak memiliki surat kebenaran berkenaan.

Gagal menunjukkan dokumen tersebut, polis yang bertugas menganggap Goh melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan dikenakan kompaun RM1,000.

Mohon batalkan kompaun

Lim mengadakan sidang media pagi tadi untuk membangkitkan kewajaran Goh dikenakan kompaun.

Apabila dihubungi kemudian, Lim memberitahu Malaysiakini, polis dikatakan bertanya kepada Goh sama ada dia mahu minta tolong atau tidak sebelum kompaun dikeluarkan.

Kata Lim, dia syak anggota polis terbabit sebenarnya meminta rasuah kepada Goh.

Berdasarkan kenyataan Ismail Sabri, kata Lim, penduduk Kuala Lumpur bebas bergerak jika dalam kawasan bandar raya. Justeru tiada sebab peniaga terbabit dikenakan tindakan.

Tambah Lim, Goh baru saja memulakan perniagaannya apabila PKPB dikuatkuasakan.

"Dia sangat kecewa. Gerainya baru saja dibuka tak sampai sebulan lalu. Bisnes tak berapa bagus dan dia tidak fikir mampu membayar kompaun berkenaan," katanya.

Berdasarkan surat kompaun yang dilihat Malaysiakini, Goh perlu menjelaskan bayaran tersebut dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.

Kata Lim dia akan membuat permohonan kepada Bukit Aman untuk membatalkan kompaun tersebut dan menyiasat anggota polis terbabit sama ada mereka diberi kebenaran mengadakan sekatan jalan raya di situ.

Malaysiakini sudah menghubungi polis Sentul untuk mendapatkan komen mereka berhubung isu berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS